16 pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia musim ini telah berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan sekali gus melayakkan mereka bertanding dalam saingan Liga Super 2023.

Keputusan ini dibuat menerusi Mesyuarat Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif pada 11 dan 12 Oktober 2022.

10 kelab Liga Super yang diberikan Lesen Kebangsaan adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, PJ City FC, Sri Pahang FC, Selangor FC, Terengganu FC, Kuala Lumpur City FC dan Sabah FC.

Manakala 6 kelab dari Liga Premier 2022 yang layak menyertai Liga Super 2023 adalah Kelantan FC, Kuching City FC, Kelantan United FC, Perak FC, PDRM FC and UiTM FC.

Bagaimanapun, dua lagi pasukan dari Liga Super iaitu Melaka United FC dan Sarawak United FC gagal memenuhi kriteria pelesenan kelab seperti yang ditetapkan.

Mereka diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan sebelum tarikh akhir pada 19 Oktober 2022 terhadap keputusan FIB yang menolak permohonan mereka mendapatkan Lesen Kebangsaan.

“Berkenaan permohonan Melaka United FC, kelab itu gagal mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Ogos 2022 serta tidak menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan bagi memenuhi syarat sub kriteria kewangan F.04 dan F.11.

“Manakala Sarawak United FC pula gagal memenuhi kriteria kewangan dan kesukanan serta mempunyai dua kes FIFA di mana keputusan telah dibuat oleh DRC FIFA terhadap bekas pemain (Sandro Da Silva Mendonca dan Taylor Francis George Regan),” kata kenyataan rasmi daripada Pengerusi Pelesenan Kelab MFL FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif.

Sebagai langkah proaktif setiap tahun, MFL mengarahkan setiap pasukan menyerahkan surat pengisytiharan yang membuktikan bahawa mereka bebas daripada sebarang tunggakan/kelewatan pembayaran gaji, KWSP, LHDN, Perkeso dan EIS kepada MFL sebelum 15 Disember 2022, iaitu menjelang musim baharu Liga Super 2023.