Pemain yang terlibat dalam pergaduhan ketika perlawanan Piala Menteri Besar Terengganu antara Penang menentang Terengganu II bakal dikenakan hukuman penggantungan dan pasukan akan didenda.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal menjatuhkan hukuman kerana kejohanan tersebut diluluskan oleh mereka.

Perlawanan tersebut terpaksa ditamatkan lebih awal setelah berlaku kekecohan dan pergaduhan beramai-ramai di tengah padang diantara pemain kedua-dua pasukan. Ketika itu, Terengganu sedang mendahului dengan keputusan 1-0.

Menurut kenyataan rasmi Terengganu, pergaduhan itu bermula pada minit ke 45+3 selepas pemain berjersi 14 Penang iaitu Endrick Dos Santos gagal menyempurnakan sepakan penalti.

“Keadaan itu membuatkan para pemain Terengganu II meraikan kegagalan tersebut dan salah seorang pemain Terengganu yang berjersi nombor 23 (Aqil Irfanuddin) turut meraikannya dihadapan pemain jersi 14 (Endrick Dos Santos) tanpa sebarang sentuhan dilakukan,” tulis kenyataan rasmi TFC.

Disebabkan tidak tahan dengan provokasi yang dilakukan oleh pemain lawan, Endrick gagal kawal emosi lalu bertindak balas dengan menumbuk bahagian belakang Aqil Irfanuddin. Situasi ini mencetuskan kekecohan dan disusuli dengan pemain Penang iaitu Casagrande melakukan terjahan ke atas bahagian belakang badan pemain Terengganu berjersi nombor 11 (Ridzuan Razali).

“Salah seorang pemain Terengganu II berjersi nombor 19 bertindak balas dengan turut melakukan terjahan ke atas pemain Penang FC berjersi nombor 9. Keadaan semakin tidak terkawal apabila berlaku pergelutan hampir kesemua pemain.

“Setelah hampir berjaya dileraikan, pemain Terengganu II yang dikejar 2 orang pemain Penang FC bertindak balas dengan mempertahankan diri secara spontan menumbuk muka pemain Penang FC berjersi nombor 28 dan keadaan tersebut menyebabkan berlaku pendarahan dibahagian hidung pemain tersebut.

“Pihak pegawai keselamatan, pegawai pasukan serta pegawai perlawanan seterusnya berjaya mengawal kekecohan yang berlaku dan perlawanan separuh masa pertama ditamatkan dan kedua-dua pasukan masuk ke bilik persalinan,” jelas kenyataan rasmi TFC.

Pergaduhan serta kejar-mengejar antara pemain kedua-dua pasukan yang menyaksikan pemain Terengganu, Ridzuan Razali berbalut di kepala kerana mengalami kecederaan manakala pemain Penang, Muhammad Adib Abdul Ra’op mengalami pendarahan pada bahagian hidung.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Video Aksi ‘Katok Orang’ Cemarkan Perlawanan Terengganu FC II Bertemu Penang FC, Muka Adib Ra’op Berdarah

Tindak Balas Endrick Dos Santos Punca Insiden Pergaduhan Berlaku

Kedah Mahu Bina Pusat Latihan Bola Sepak Bertaraf Dunia