Masihkah anda ingat insiden pergaduhan yang melibatkan pemain daripada skuad Malaysia bawah 15 tahun (B-15) ketika menentang Thailand B-15 di perlawanan akhir kejohanan AFF B-15 pada minggu lepas?

Semalam, pemain Thailand tersebut iaitu Kongpop Sroirak bersama ibu bapanya telah mengadakan perjumpaan bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Somyot Poompunmuang untuk memohon maaf di atas kelakuan ganasnya ketika menentang anak buah P. Maniam.

Turut serta dalam pertemuan itu ialah ketua jurulatih skuad Thailand B-15 dari Sepanyol, Salvador Valero Garcia bersama pembantunya.

Ketika insiden pergaduhan itu berlaku, Kongpop bertindak di luar kawalan dengan menumbuk penyerang muda negara, Muhammad Izwan di kawasan sepakan penjuru di minit akhir perlawanan kemudian dibalas balik oleh Nabil Qayyum yang turut berada di sebelahnya.

Bagaimanapun, pergaduhan itu sempat dileraikan oleh pengadil dan pemain yang terlibat telah menerima layangan kad merah.

67910353_2451257681786967_6895451736098471936_n
FOTO: FAT

Sementara itu, Presiden FAT, Somyot Poompunmuang menasihati pemainnya agar mengubah sikap jika mahu berjaya dalam sukan bola sepak. Beliau juga berharap Kongpop belajar daripada kesilapannya supaya menjadi pemain bola sepak yang cemerlang demi masa depan pemain itu dan keluarganya.

“Kongpop telah mengakui kesilapannya dan dia memohon maaf kerana memulakan insiden itu. Beliau juga turut memohon maaf kepada ibu bapanya, rakan sepasukan, jurulatih dan semua orang yang terlibat dalam kejohanan itu,” katanya Somyot.

Baca: Tandukan Nabil Qayyum Pastikan Malaysia Juara AFF B-15

Skuad Malaysia B-15 pada minggu lalu melakar kejutan apabila menewaskan Thailand, 2-1 sekaligus dinobatkan sebagai juara kejohanan AFF B-15. Ini adalah kejuaraan kedua mereka dalam masa sebulan selepas mereka turut muncul sebagai juara dalam satu kejohanan jemputan di China.

Kemenangan itu juga menamatkan penantian selama 6 tahun dimana kali pertama Malaysia muncul sebagai juara adalah pada tahun 2013 di Myanmar selepas mengalahkan Indonesia 3-2 pada final menerusi penentuan penalti susulan terikat 1-1 selepas masa penuh perlawanan.