Skuad Malaysia bawah 15 tahun (B-15) mengekalkan rentak cemerlang apabila menewaskan Thailand, 2-1 sekaligus dinobatkan sebagai juara kejohanan AFF B-15. Ini adalah kejuaraan kedua mereka dalam masa sebulan selepas mereka turut muncul sebagai juara dalam satu kejohanan jemputan di China.

Baca: Gergasi Asia Tumpas Ditangan Anak Buah P. Maniam Di China

Kemenangan itu juga menamatkan penantian selama 6 tahun dimana kali pertama Malaysia muncul sebagai juara adalah pada tahun 2013 di Myanmar selepas mengalahkan Indonesia 3-2 pada final menerusi penentuan penalti susulan terikat 1-1 selepas masa penuh perlawanan.

affu15

Malaysia juara AFF U15.

Dalam perlawanan tersebut, Thailand terlebih dahulu membuka akaun jaringan melalui tandukan Theekawin Chansri pada minit ke 16. Jaringan tersebut telah membangkitkan semangat pemain tuan rumah untuk terus memburu jaringan kedua.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Malaysia cuba bangkit mengatur beberapa gerakan berbahaya namun mudah dipatahkan oleh benteng pertahanan lawan. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Senario berbeza berlaku pada separuh masa kedua yang menyaksikan skuad kendalian P. Maniam sudah mula mendapat rentak permainan dan kerap kali memberi ancaman kepada tuan rumah.

Pada minit ke 69, usaha mereka melancarkan serangan bertubi-tubi akhirnya membuahkan hasil apabila Muhammad Izrin Ibrahim berjaya menjaringan gol penyamaan melalui rembatan leret dari kotak penalti sehingga menewaskan penjaga gol Thailand.

Seolah-olah tidak puas hati dengan satu gol, Malaysia terus mengandakan asakan untuk mencari jaringan kedua bagi memastikan kejuaraan berada dalam genggaman mereka. 10 minit kemudian, Nabil Qayyum muncul sebagai wira menanduk menanduk masuk jaringan kemenangan sehingga menceriakan kem negara.

Bagaimanapun, terdapat insiden pergaduhan di minit akhir perlawanan yang menyaksikan acara ‘tumbuk-menumbuk’ berlaku di antara kedua-dua pasukan di kawasan sepakan penjuru. Namun, ia sempat dileraikan oleh pengadil dan pemain yang terlibat telah menerima layangan kad merah.

Pengadil kemudian meniup wisel penamat untuk Malaysia dinobatkan sebagai juara Asia Tenggara. Tahniah diucapkan! Kami bangga dengan pencapaian mereka.

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group