Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) hari ini mendedahkan mereka telah menerima laporan daripada beberapa orang pemain Sarawak United FC mengenai isu tunggakan gaji pemain yang pada ketika ini sudah memasuki 4 bulan.

Menurut kenyataan rasmi, tunggakan gaji tersebut masih belum dilunaskan sehingga kini walaupun pihak pengurusan kelab menjelaskan akan menyelesaikan masalah itu.

“Pada 14 Jun yang lepas, pihak PFAM telah mula mengeluarkan notis kepada Sarawak United FC untuk tuntutan tunggakan kepada pemain yang telah melakukan aduan. Notis susulan turut diberikan kepada Sarawak United FC pada 8 Julai yang lepas.

“Walaupun telah menerima respon balas daripada pihak kelab untuk melunaskan tunggakan gaji, namun sehingga kini, tunggakan tersebut masih belum dijelaskan sepenuhnya,” kata PFAM.

Malah, para pemain Sarawak United turut berdepan masalah tempat penginapan kerana gagal membayar sewa dalam beberapa bulan.

“Lebih mendukacitakan, pada bulan Jun yang lepas, para pemain terpaksa berhadapan dengan situasi menerima notis untuk mengosongkan tempat penginapan mereka kerana bayaran sewa tidak dilunaskan oleh pihak kelab.

“Pihak pengurusan kelab sewajarnya memberikan fokus sepenuhnya dalam menjalankan tanggungjawab mereka bagi mengelakkan hukuman yang berat dikenakan terhadap pasukan.

“PFAM memandang serius tentang isu tunggakan gaji pemain dan akan membawa perkara ini ke peringkat NDRC dalam masa yang terdekat,” tegas PFAM.

Tangkap layar pemain Sarawak United mengenai isu tunggakan gaji.

Ketika dihubungi oleh media Sarawak, Presiden Sarawak United, Dato Posa Majais menjelaskan pembayaran gaji kepada para pemain dan jurulatih akan dilaksanakan setelah mendapat dana daripada pihak tertentu.

“Saya akui memang berlaku tunggakan gaji yang melibatkan pasukan belia, presiden dan skuad senior.

“Kita merasa lega kerana dana daripada pihak berkenaan untuk kami selesaikan isu ini telah diluluskan,”katanya kepada TVS hari ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Final Piala FA Serentak Dengan Konsert Dewa 19, Bukit Jalil Dijangka Sesak Teruk Pada 10 September

Gol Jarak Jauh Sean Selvaraj Dihantar Ke FIFA Untuk Pencalonan Anugerah PUSKAS

TRW Kelantan Jadikan Tuntutan Kes Fitnah Sebagai Sedekah