Isu tunggakan gaji terus membelenggu saingan Liga Malaysia apabila pasukan Sarawak United dikenakan sekatan perpindahan pemain tempatan dan asing untuk tiga jendela perpindahan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menurut laporan Berita Harian, kelab tersebut dikatakan gagal melunaskan tunggakan gaji dan pampasan bekas pemain importnya, Sandro da Silva yang berjumlah lebih RM150,000.

“Keputusan FIFA sudahpun dikeluarkan jadi mereka harus jelaskan pembayaran itu dalam tempoh masa 45 hari iaitu sehingga 18 Jun lalu. Tetapi mereka gagal melakukannya sehingga tarikh yang dinyatakan.

“Jadi pasukan itu dikenakan sekatan perpindahan pemain tempatan dan asing sehingga tiga tempoh pendaftaran pemain secara berturutan,” kata peguam Sandro, Mohd Zhafri Aminurashid.

FIFA menyatakan Sarawak United gagal mematuhi obligasi kewangan mengikut keputusan yang diputuskan oleh badan induk sekali gus menyaksikan hukuman itu terpaksa dikenakan.

Malah, hukuman lebih keras bakal menanti pasukan tersebut jika mereka enggan membayar tunggakan seperti dituntut oleh Sandro.

“Kalau perkara ini berlanjutan, kes boleh dibawa ke Jawatankuasa Disiplin FIFA dan selepas itu, hukuman lebih berat boleh dikenakan kepada mereka. Antaranya, penolakan mata atau sekatan untuk mendaftarkan pemain,” jelas Mohd Zhafri.

Tahun lepas, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan Sarawak United telah diberikan lesen kebangsaan dengan bersyarat. Hal ini kerana mereka mempunyai hutang tertunggak dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang belum diselesaikan.

Masalah yang berulang setiap musim seperti isu tunggakan gaji menyukarkan Liga Malaysia untuk melangkah ke tahap yang lebih baik.

Ia akan memberikan imej buruk kepada Liga Malaysia maka sukar untuk mana-mana penaja mahu terlibat dengan pasukan dan mengurangkan keyakinan syarikat besar untuk menjadi penaja utama.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.

MFL Terpaksa Rombak Jadual Perlawanan Liga Malaysia

Ifedayo ‘Tibai’ Selangor 2-0 Selepas Pulih Daripada Kecederaan Hamstring

Aksi Faisal Halim ‘Menganjing’ Penjaga Gol Sri Pahang Curi Tumpuan

MFL Kaji Cadangan Sepak Mula Liga Malaysia Pada Waktu Petang