Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon dilaporkan bakal mendapatkan khidmat pembantu jurulatih dari luar negara apabila nama Pau Marti Vicente dikaitkan dengan posisi tersebut.

Menurut perkongsian wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Vicente ketika ini menjawat sebagai penolong jurulatih dalam skuad B-18 tahun kelab La Liga iaitu Barcelona.

Pau Marti Vicente menjadi pembantu jurulatih bagi skuad B-18 tahun Barcelona sejak 2017 dan beliau pernah diberi tanggungjawab untuk menjadi pembantu jurulatih skuad B-19 tahun dan Barcelona B.

Jawatan sebagai pembantu jurulatih kepada Pan-gon masih menjadi perbincangan dimana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih lagi belum melantik mana-mana jurulatih bagi mengisi posisi tersebut.

Sebelum ini, dua jurulatih muda tempatan iaitu Nafuzi Zain (Terengganu) dan Nidzam Jamil (Selangor) dikaitkan dengan jawatan tersebut namun kedua-duanya menolak tawaran tersebut kerana menghormati kontrak dan mahu membantu kelab masing-masing yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia.

Nama jurulatih lain yang dikaitkan ialah bekas ketua jurulatih Selangor, Sri Pahang dan Melaka United, Zainal Abidin Hassan selain E.Elavarasan dan pembantu jurulatih Penang, Manzoor Azwira.

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar berkata pihaknya memberi kebebasan kepada Kim Pan-gon untuk memilih mana-mana jurulatih sama ada dalam atau luar negara bagi menjadi pembantu kepadanya.

FAM sebagai badan induk bola sepak negara akan membantu dari segi berbincang dengan pasukan sekiranya Pan-gon telah memilih jurulatih dari kalangan jurulatih tempatan untuk membantu beliau menguruskan pasukan kebangsaan.

Kim Pan-gon akan tiba di Malaysia pada bulan ini dan beliau akan membawa empat pembantu iaitu seorang penolong jurulatih, seorang jurulatih penjaga gol, seorang jurulatih kecergasan dan seorang juruanalisis bagi membantu beliau.

Pan-gon barisan kejurulatihannya selepas itu akan mula memantau pemain-pemain sebaik saingan Liga Malaysia 2022 bermula bagi panggilan pertama kem latihan pusat pada Mac 2022 sebagai persiapan awal menjelang Kelayakan Piala Asia 2023, Jun depan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Zamsaham Sanggup Beli Sistem VAR Untuk Perbaiki Mutu Pengadil

20 Jurulatih Tempatan Sertai Kursus Kejurulatihan Diploma Profesional AFC 2022-2023

Curran Ferns Perli FAM, Beri Kerakyatan Kepada Pemain Yang Menipu Ada Darah Malaysia