Legenda bola sepak Jepun, Kazuyoshi Miura atau lebih dikenali sebagai King Kazu telah memecahkan rekod dunia yang dipegang oleh dirinya sendiri selepas beliau diturunkan pada aksi Liga Bolasepak Jepun (Divisyen 4) pada Ahad lalu.

Ia sekali gus terus menjadikan Miura sebagai pemain tertua yang beraksi dalam kancah bola sepak profesional iaitu pada usia 55 tahun dan 225 hari.

Dipinjamkan ke Suzuka Point Getters daripada Yokohama FC , Miura dimasukkan pada minit ke-76 pada pertemuan menentang Criacao Shinjuku dimana pasukannya menang dengan keputusan 1-0.

Malah, perlawanan tersebut turut menggamit 16,218 orang penyokong dan ia menjadi kehadiran paling ramai penyokong ke Stadium Nasional Jepun, Tokyo.

“Saya bersyukur dan berasa bengga kerana dapat bermain dalam situasi yang terbaik ini. Saya mahu perlawanan ini menjadi sebahagian daripada sejarah yang saya cipta.”

“Mendapat peluang beraksi di tempat seperti ini [merujuk Stadium Nasional Jepun], saya akan tetap merendah diri dan terus bermain tanpa melupakan rasa lapar [untuk beraksi],” ujar Miura menurut sumber Sport Bible.

Menurut King Kazu lagi, beliau menyimpan impian untuk terus aktif beraksi sehingga umurnya mencecah 60 tahun.

Meskipun lahir di Shizouka, Kazuyoshi Miura memulakan karier profesionalnya bersama kelab ternama Brazil, Santos pada 1986 dimana ketika itu beliau baharu berusia 19 tahun.

Empat tahun kemudiannya beliau pulang ke kampung halaman untuk menyarung jersi Tokyo Verdy dan selepas itu segalanya menjadi sejarah buat beliau sehingga ke hari ini.

 

 

 

Sumber