Ketika banyak pihak mempertikaikan kehadiran Skuad Projek FAM/MSN dalam saingan Liga Premier Malaysia 2021, masih ada individu tampil mempertahankan penyertaan kelab yang dibarisi keseluruhan pemain muda itu.

Selepas mengharungi lapan perlawanan setakat ini, skuad yang dibimbing Yusri Che Lah itu hanya mampu mencatatkan satu keputusan seri manakala tujuh aksi lagi berakhir dengan kekalahan.

Lebih perit, mereka tewas 1-7 di tangan pendahulu liga, Sarawak United pada perlawanan yang berlangsung pada 10 April lalu.

Sehubungan dengan itu, bekas pemain kebangsaan, Rosli Hussein mahu kem skuad Projek FAM/MSN agar tidak melatah dengan prestasi serta keputusan yang dicatatkan kelab tersebut pada ketika ini.

Memetik kenyataannya menerusi laporan Berita Harian (BH) Online, Rosli juga meluahkan rasa kesalnya terhadap maklumat yang tidak tepat disalurkan sehingga menyebabkan para penyokong keliru dengan kehadiran skuad ini.

“Skuad Projek FAM-MSN ini bukan program pembangunan menyeluruh. Skuad ini dipersiapkan untuk mengharungi cabaran ke Sukan Olimpik 2024 di Paris dan kebanyakan mereka bukan daripada kelompok elit atau graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).”

“Jadi, projek ini mempunyai satu sasaran yang khusus, sudah tentulah ia memerlukan pendekatan yang berbeza berbanding program pembangunan secara am atau menyeluruh.”

“Penyertaan skuad ini di Liga Perdana adalah titik permulaan pendekatan berbeza yang saya maksudkan,” ujar Rosli bercakap kepada BH Online.

“Ketika kita semua sedang dikelirukan dengan maklumat-maklumat negatif, perancang di FAM dan Majlis Sukan Negara (MSN) sudah pun melihat ke hadapan dengan misi yang penuh harapan.

“Saya pasti skuad ini sudah pun mengukur baju di badan sendiri. Mereka tahu yang penyertaan mereka di Liga Perdana adalah satu cabaran yang amat tinggi. Dengan bimbingan, asuhan dan didikan dari pasukan kejurulatihan, skuad ini akan mampu mengharungi cabaran liga dengan positif,” tambah Rosli Hussein lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Azraai Khor Abdullah: Liga M3 Atau Piala Presiden Lebih Baik Buat Skuad Projek FAM-MSN

Teguran Khalid Ali Mengenai Pemakaian Seluar Jeans Lusuh Ada Benarnya

Thomas Dooley Sedia Bantu Sri Pahang Jika Khidmatnya Diperlukan

Sumber