Brazil hanya selangkah sahaja lagi untuk mengekalkan pingat emas dalam acara bola sepak di Sukan Olimpik apabila berjaya menundukkan Mexico menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kashima, sebentar tadi.

Perlawanan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang 120 minit perlawanan berlangsung.

Menguasai sebahagian besar permainan sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil dari Bulgaria, Georgi Kabakov, Brazil tidak berupaya menggunakan kesempatan tersebut untuk mendapatkan jaringan.

Skuad kendalian Andre Jardine itu mendapat peluang pertama pada minit ke-14 apabila gerakan tersusun yang dilancarkan memberikan ruang buat Guilherme Arana melakukan percubaan.

Bagaimanapun, rembatan yang diledakkan pemain berusia 24 tahun itu dalam kawasan penalti berjaya dinafikan penjaga gol berpengalaman, Guillermo Ochoa.

Ochoa terus cemerlang dengan ketangkasan dipamerkan selepas menyelamatkan percubaan voli daripada Antony pada minit ke-20 manakala berselang dua minit kemudian beliau menghalang rembatan padu ketika situasi sepakan percuma Dani Alves.

Penjaga gol Brazil, Santos juga tidak dibiarkan bersenang-lenang di gawangnya apabila Mexico turut melancarkan beberapa serangan berbahaya ke kubunya pada lewat aksi babak pertama.

Beliau dengan tenang menggagalkan usaha daripada Luis Romo dan Henry bagi menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi pada minit ke-42 dan 46.

Richarlison berpeluang menghadiahkan kemenangan buat Brazil dengan lebih awal tetapi tandukannya pada minit ke-82 yang berjaya menewaskan Ochoa sekadar singgah di tiang gol.

Ketandusan jaringan sehingga 120 minit perlawanan memaksa pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.

Kegagalan Eduardo Aguirre dan Johan Vasquez menyempurnakan sepakan membolehkan Brazil melayakkan diri ke perlawanan akhir bagi menanti pemenang antara tuan rumah, Jepun dan Sepanyol yang akan beraksi sebentar nanti.

Sepakan penalti

Mexico

Eduardo Aguirre – Diselamatkan Santos

Johan Vasquez – Terkena tiang gol

Carlos Rodriguez – Gol

Brazil

Dani Alves – Gol

Martinelli – Gol

Bruno Guimaraes – Gol

Reinier – Gol

Baca artikel-artikel lain yang disediakan untuk anda: