Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Juara bertahan, Brazil memulakan kempen Sukan Olimpik 2020 dengan langkah kanan selepas skuad kendalian Andre Jardine itu menundukkan Jerman 4-2 pada aksi yang berlangsung di Stadium Yokohama, Jepun sebentar tadi.

Richarlison nyata menjadi watak penting buat Brazil selepas penyerang Everton itu berjaya meledakkan hatrik pada separuh masa pertama.

Pertembungan kedua-dua pasukan yang berada dalam kumpulan D ini juga boleh diibaratkan sebagai perlawanan ulangan dimana Brazil berjaya menundukkan Jerman menerusi sepakan penalti pada final edisi 2016 di Rio de Janeiro.

Brazil tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Richarlison menemui sasaran diharapkan seawal minit ketujuh.

Berpunca daripada lorongan Antony yang sekali gus memerangkap pemain pertahanan Jerman memberikan ruang buat Richarlison untuk meluru pantas ke dalam kawasan penalti.

Penjaga gol, Florian Muller pada mulanya berjaya menepis rembatan daripada Richarlison tetapi percubaan susulan selepas itu tidak mampu lagi dihalang beliau untuk meletakkan Brazil di hadapan.

Richarlison hampir menambah jaringan kedua berselang lapan minit kemudian susulan kecuaian pemain pertahanan, Amos Pieper yang cuba melakukan tandukan ke arah penjaga golnya,

Namun, Richarlison yang mendapat ruang secukupnya untuk melepaskan rembatan gagal untuk menyudahkan peluang terhidang di dalam kawasan penalti berikutan tindakan pantas Pieper menyelamatkan keadaan.

Kehampaan itu ditebus Richarlison pada minit ke-22 selepas beliau bijak menyambar hantaran lintang dilakukan Guilherme Arana untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Tidak cukup dengan dua jaringan tersebut, pemain berusia 24 tahun itu melengkapkan hatriknya pada minit ke-30 menerusi percubaan dalam kawasan penalti yang gagal dinafikan Muller.

Brazil terlepas peluang untuk menambah gol keempat pada masa kecederaan babak pertama apabila Muller cemerlang dalam menafikan sepakan penalti yang diambil Matheus Cunha.

Muller terus bekerja keras pada separuh masa kedua apabila beliau menafikan rembatan jarak dekat diledakkan Cunha pada minit ke-52.

Jerman kemudiannya berjaya merapatkan jurang dengan jaringan menerusi percubaan voli dari luar kawasan penalti oleh Nadiem Amiri gagal diselamatkan penjaga gol Brazil, Santos pada minit ke-56.

Ketika perlawanan memasuki minit ke-63, Jerman terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas ketua pasukan, Maximilian Arnold diperintah keluar padang apabila beliau menerima kad kuning kedua.

Keadaan itu memberikan ruang buat Brazil untuk terus menguasai permainan tetapi tanpa disangka-sangka Jerman masih berupaya untuk mendapatkan jaringan kedua pada minit ke-83.

Susulan hantaran lintang menarik daripada sebelah kanan pintu gol Brazil membolehkan pemain gantian, Ragnar Ache melonjak tinggi sekali gus menanduk masuk bola untuk gol kedua.

Paulinho akhirnya mematikan api perjuangan Jerman selepas percubaannya dalam kawasan penalti pada masa kecederaan terus menerjah gawang untuk mengesahkan kemenangan sulung buat Brazil.

Keputusan 4-2 tersebut menyaksikan Brazil menduduki tangga teratas, hanya berkelebihan perbezaan jaringan berbanding Ivory Coast yang menundukkan Arab Saudi 2-1 pada aksi terdahulu.

 

 

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group