Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial, hari ini bahawa nama pemain berdarah campuran Malaysia-Finland, Nooa Laine telah berada dalam senarai panggilan skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon tetapi telah dibatalkan pada saat akhir, semalam.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman berkata, isu berkenaan sebenarnya tidak timbul sebaliknya pihak FAM hanya menghubungi pihak Nooa baru-baru ini bagi mendapatkan kemas kini mengenai proses dokumentasi status pemain warisan beliau sekiranya dipanggil ke kem latihan pusat Harimau Malaya.

“Pihak Sekretariat FAM memang ada menghubungi pihak Nooa bagi mengetahui status terkini berhubung perkara tersebut kerana nama pemain itu berada dalam senarai pendek untuk dipertimbangkan oleh Pan Gon sebelum dipanggil ke kem latihan pusat kali ini.

“Namun kami telah dimaklumkan bahawa Nooa hanya akan pulang ke tanah air pada Oktober ini bagi menyelesaikan urusan mendapatkan dokumentasi sebagai pemain warisan. Jadi berdasarkan situasi semasa tersebut, untuk panggilan latihan pusat kali ini, memang tiada nama beliau disenaraikan.

“Dakwaan tersebut juga tidak tepat kerana FAM semalam mengeluarkan siaran media senarai pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat Harimau Malaya, bukannya Ahad (kemarin). Malah surat rasmi juga baru dihantar ke kelab-kelab sejurus kemudian,” kata Noor Azman.

Nooa Laine
Nooa Laine

Skuad Harimau Malaya bakal memulakan kem latihan pusat pada Jumaat ini bagi persiapan menghadapi dua perlawanan antarabangsa pada kejohanan jemputan 48th King’s Cup 2022 di Chiang Mai, Thailand pada 22 dan 25 September 2022.

Bagaimanapun menurut Noor Azman, pintu buat pemain tengah berusia 20 tahun itu yang kini beraksi bersama kelab Liga Utama Finland, SJK Seinajoki untuk menyarung jersi skuad senior kebangsaan itu masih belum tertutup, dengan syarat beliau segera mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.

“Kami di FAM sentiasa membuka pintu yang luas untuk Nooa Laine menyarung jersi skuad Harimau Malaya pada masa akan datang sekiranya prestasi semasa beliau berjaya menambat hati Pan Gon.

“Namun apa pun kita berharap agar Nooa dapat menyelesaikan segera urusan dokumentasi tersebut sepertimana yang dinyatakan akan diselesaikan pada Oktober ini supaya beliau tiada masalah jika dipanggil ke kem latihan pusat selepas ini,” jelas Noor Azman.