Kejutan datang dari skuad B-23 tahun negara apabila pemain kacukan Malaysia-Finland, Nooa Laine menyertai kem latihan pusat bermula semalam.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi dimana Nooa menjadi salah satu pemain yang berpangkalan di luar negara yang mula menjalani kem latihan pusat skuad bimbingan Brad Maloney.

Nooa merupakan pemain berusia 19 tahun yang boleh beraksi di posisi pemain tengah menyerang dan ketika ini beliau menyarung jersi SJK Seinäjoki dalam saingan divisyen pertama liga bola sepak Finland.

Sebelum ini, Nooa Laine mempunyai pengalaman beraksi bersama skuad B-16 dan B-17 tahun Finland dan menurut data yang diambil dari Transfermarkt, beliau tampil dalam empat perlawanan dan menjaringkan satu gol.

Meskipun tidak mengetahui banyak hal mengenai Nooa, namun rata-rata peminat bola sepak tanah air menyambut baik kedatangan pemain itu dengan membanjiri laman media sosial Instagram milik Nooa.

Selain Nooa, seorang lagi pemain berpangkalan di luar negara yang menyertai kem latihan pusat skuad B-23 tahun ialah penyerang Azul Claro Numazu iaitu Hadi Fayyadh Abdul Razak.

Hadi berada dalam prestasi semasa yang baik apabila baru-baru ini tampil buat kali pertama dalam saingan J3 setelah beraksi di Jepun sejak 2018.

Teka-teki mengenai seorang lagi penyerang yang berpangkalan di luar negara iaitu Luqman Hakim turut terjawap dimana penyerang KV Kortrijk itu akan mula menyertai kem latihan pada 30 April ini.

Seorang lagi pemain yang berpotensi untuk beraksi bersama skuad muda negara, Amar Makruf terlihat samar apabila pemain itu dikhabarkan mengalami kecederaan pergelangan kaki sejak 14 April lalu dan memerlukan dua minggu untuk pulih sepenuhnya.

Amar Makruf menyertai akademi Alcorcon pada April 2021 dan beliau kemudiannya diserapkan ke dalam skuad B-23 tahun yang beraksi dalam saingan Tercera División yang merupakan liga divisyen keempat dalam piramid bola sepak Sepanyol.

Selain beraksi dalam temasya Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam, skuad B-23 tahun negara juga bakal beraksi dalam saingan AFC B-23 tahun yang dijadualkan bermula pada bulan Jun ini di Uzbekistan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Herold Goulon Dipilih Sebagai Pemain Paling Menyerlah Dalam Liga Super Minggu Ke-6

Jaringkan Hatrik Di Usia 41 Tahun, Datuk K.Rajagobal Puji Amri Yahyah

Skuad Bawah 17 Tahun Malaysia Berpeluang Jalani Latihan Di Akademi Juventus