Pemain tengah skuad kebangsaan, Nooa Laine mengakui bola sepak Malaysia dan Finland jauh berbeza dan beliau perlu segera menyesuaikan diri agar terpilih bagi membarisi kesebelasan utama.

Seramai 27 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon telah menjalani sesi latihan pusat selama tiga hari di Johor Bahru dan Nooa mahu segera memahami corak permainan yang diterapkan oleh Pan-gon dan juga rakan sepasukan yang lain.

"Selepas mengikuti latihan pasukan kebangsaan, saya dapati kualiti dan corak permai­nannya berbeza di Finland yang lebih teknikal berbanding di sini di mana rentaknya adalah lebih straight forward.

[caption id="attachment_201488" align="alignnone" width="1050"]Nooa Laine Sumber Gambar: FAM[/caption]

"Oleh itu, saya harus segera sesuaikan diri dengan taktikal yang diterapkan jurulatih selain perlu turut bermain secara pantas dengan juga mengenali corak permainan rakan-rakan lain,” katanya menurut laporan Kosmo.

Nooa Laine turut menegaskan beliau mahu menjadi pemain penting dalam skuad negara dan mahu membantu pasukan untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan dan Hong Kong.

Sebelum ini, Pan-gon berpendapat pemain berusia 20 tahun itu memiliki potensi yang cukup untuk mengisi barisan tengah pasukan negara.

"Dia pemain muda tapi berpengalaman apabila beraksi di divisyen pertama di Finland malah saya lihat pemain itu berpotensi terutama bermain di posisi tengah bertahan dan kekuatan tersendiri apabila kerap beri tekanan terhadap pemain lawan dan kualiti itu yang saya inginkan,” kata Pan-gon.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Turkmenistan pada Khamis, 23 Mac 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, 10.00 malam sebelum menentang Hong Kong bagi aksi kedua pada Selasa, 28 Mac 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, 10.00 malam.

Ayuh sama-sama kita menyokong skuad Harimau Malaya dengan menonton perlawanan antarabangsa yang disiarkan di TV9. Anda juga boleh menonton menerusi saluran Unifi TV 109, Astro 149 dan strim di tonton!