Nasib malang menimpa salah seorang pemain bintang Vietnam, Nguyen Quang Hai apabila beliau kini dihukum ekoran menampilkan prestasi buruk bersama kelab divisyen dua Perancis, Pau FC.

Quang Hai yang sebelum ini beraksi dengan skuad utama kini diarahkan untuk bermain dengan pasukan pembangunan yang beraksi di divisyen lima ekoran gagal menampilkan prestasi baik selepas pulang dari beraksi di Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Sebelum pulang ke Vietnam, pemain berusia 25 tahun itu mendapat peluang dimana beliau membuat 12 penampilan dan menjaringkan satu gol bersama Pau dalam semua kejohanan.

Nguyen Quang Hai
Sumber Gambar: Pau FC

Selepas itu, beliau hanya diturunkan dalam satu perlawanan sebagai pemain gantian dan bekas pemain Hanoi FC itu hanya bermain selama seminit dan nasib Quang Hai semakin malang apabila ketua jurulatih, Didier Tholot mengeluarkan arahan baharu mengenai beliau.

Nguyen Quang Hai diminta untuk beraksi dengan pasukan pembangunan di divisyen kelima dan baru-baru ini beliau tampil dalam perlawanan menentang CA Neuville yang mana kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Menurut laporan media Vietnam, keputusan tersebut diambil Tholot kerana beliau mahukan pemain itu untuk meningkatkan lagi penguasaan bola selain meningkatkan tahap kemampuan serta kepercayaan dalam diri pemain itu.

Ketika saingan Piala AFF, media Vietnam turut mengkritik Quang Hai dimana mereka menilai pemain itu tidak mempunyai sebarang sumbangan bagi pasukan kebangsaan meskipun berstatus pemain yang beraksi di Eropah.

Nguyen Quang Hai
Kredit Foto: Liên đoàn Bóng đá Việt Nam – VFF

“Dari segi bakat di rantau Asia Tenggara, Nguyen Quang Hai mungkin berada di tempat kedua selepas Chanathip Songkrasin, selepas apa yang ditampilkan oleh pemain itu dalam lima tahun terakhir di bawah bimbingan Park Hang-seo.

“Peminat juga berharap dengann pengalaman pemain itu beraksi di Eropah, Quang Hai dan rakan-rakan boleh membantu Vietnam memenangi trofi Piala AFF sekali lagi.

“Dengan penilaian adil, selama 400 minit beraksi di Piala AFF, persembahan beliau kurang meyakinkan. Selain bantuan gol ketika menentang Malaysia, tiada apa yang boleh dibanggakan.

“Masalah yang dihadapi oleh beliau adalah sejak beraksi di Eropah, Quang Hai gagal untuk melakukan hantaran mudah dan beradaptasi dengan posisi baharu, yang menyebabkan beliau mudah membuat kesilapan,” dipetik dari laporan media terbabit.