Tidak lengkap rasanya mengulas kejayaan Chelsea menjuarai kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21 tanpa memperkatakan tentang sumbangan besar dijelmakan pemain tengah, N’Golo Kante.

Kante seperti kebiasaan dengan cukup tenang mengemudi jentera tengah Chelsea sehingga membuatkan pemain-pemain Manchester City seperti Kevin De Bruyne, Bernardo Silva dan Ilkay Gundogan kehilangan idea untuk merencanakan serangan berbahaya meskipun The Cityzens lebih menguasai permainan.

Tanpa mengira situasi menyerang atau bertahan, sudah pasti kelibat Kante akan turut kelihatan membantu pasukan sekali gus kudrat yang dicurahkan pada pertembungan di Porto itu menjadikannya sebagai pemain terbaik perlawanan.

Mendedahkan kepada laman sesawang rasmi Chelsea, Kante mengakui bahawa antara perkara yang membuatkan beliau dapat mengekalkan  kecergasan tinggi setiap kali beraksi adalah berkenaan dengan mentaliti.

“Sudah tentu saya akan kepenatan [ketika beraksi]. Sewaktu perlawanan, terdapat jangka waktu dimana anda cukup kuat dan keadaan yang menyaksikan anda adalah lemah. Saat anda berasa lemah, anda perlu untuk mencuba dan memulihkan keadaan.”

“Kadangkala, anda tidak berupaya untuk memulihkan keadaan, tetapi ia adalah berkenaan dengan bagaimana anda menguruskan perlawanan tersebut,” ujar Kante.

“Walaupun sekiranya anda berasa letih, kadangkala, anda hanya perlu mencuba dan membuat kelainan. Terutamanya untuk mengekalkan keputusan jaringan. Jadi, kadang-kadang anda kepenatan tetapi itu semua adalah berkaitan mentaliti.”

“Sepanjang musim ini, bersama dengan kelab dan kakitangannya, saya cuba untuk menguruskan jadual perlawanan. Ia membawa maksud, memikirkan tentang cara terbaik untuk menjalani latihan bagi memastikan kami bersedia untuk menghadapi perlawanan.”

“Kadang-kadang anda perlu memanjangkan lagi tempoh pemulihan dalam usaha mengelakkan kecederaan dan dapat memberikan segalanya pada setiap perlawanan,” tambah Kante lagi.

Lima musim bersama Chelsea, N’Golo Kante telah menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah, Liga Europa, Liga Perdana Inggeris dan Piala FA.

Baca artikel lain dari kami mengenai N’Golo Kante:

Chelsea Lega Menjelang Final UCL, Kante & Mendy Semakin Pulih

Barcelona Mahu Kante Tukar Dengan Coutinho

Carrilero: Peranan Besar Yang Ditunjangi Pemain Tengah

Sumber