Kem Chelsea mungkin boleh menarik nafas lega menjelang pertemuan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21 yang bakal berlangsung awal pagi Ahad nanti apabila dua tonggak utama, N’Golo Kante dan Edouard Mendy dilaporkan semakin pulih daripada kecederaan dialami.

Perkembangan terkini itu disahkan pengurus, Thomas Tuchel dimana kedua-dua pemain tersebut turut menyertai skuad 25 pemain yang terbang ke Porto bagi menghadapi Manchester City.

Kante terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama ketika bertemu Leicester City dalam aksi liga akibat hamstring manakala Mendy pula mengalami kecederaan tulang rusuk sewaktu menentang Aston Villa yang merupakan perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris.

Walaupun Chelsea memiliki ‘squad depth’ yang baik tetapi kehadiran kedua-dua pemain itu nyata menyemarakkan lagi semangat The Blues untuk memburu kejuaraan UCL buat kali kedua.

“N’Golo menunjukkan perubahan yang baik dan saya berharap dia akan kekal sebegini pada hari Sabtu nanti,” ujar Tuchel menurut laporan dikeluarkan Goal.

“Edou [Mendy] juga menunjukkan perkembangan sangat baik dari segi kesakitannya apabila kecederaannya berkurang berbanding pada mula mengalaminya, ia sesuatu yang baik.”

“Kami berharap agar dapat menggunakan kembali khidmatnya. Sekiranya dia kembali cergas, Edou akan beraksi pada perlawanan tersebut.”

Aksi di Estadio do Dragao itu turut memberikan makna yang cukup besar buat Tuchel apabila beliau mahu menebus kekecewaan tumbang pada perlawanan akhir di tangan Bayern Munich pada musim lalu ketika membimbing Paris Saint-Germain.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21:

Stones: “Kami Sangat Inginkan Piala UCL”

Hadiah Kemenangan UCL Dikurangkan Kerana Potong Kos Tukar Venue Ke Portugal

Sheikh Mansour ‘Belanja’ Penyokong Manchester City Terbang Ke Porto

 

Sumber