Seri tanpa jaringan bertemu Kedah di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi sebentar tadi menyaksikan Negeri Sembilan melangkah ke suku akhir TM Piala Malaysia 2022.

Keputusan tersebut sudah cukup buat skuad kendalian K. Devan itu selepas mereka memiliki kelebihan agregat 2-1 pada aksi pertama di Alor Setar.

Beraksi di laman berbekalkan sokongan ribuan penyokong sendiri, barisan pemain Negeri Sembilan tampil dengan kemas untuk memburu jaringan terutamanya menerusi penyerang import, Matheus Alves.

Ia jelas terbukti apabila pemain kelahiran Brazil itu beberapa kali mendapat peluang bagi mengancam gawang Kedah yang dikawal Ifwal Akmal Chek Kassim. Namun, penyudah kurang berkesan menggagalkan usaha tersebut.

Ifwat melakukan kesilapan yang hampir menghukumnya pada minit ke-14 apabila beliau gagal menumbuk dengan baik bola ketika situasi sepakan penjuru, bagaimanapun pemain pertahanan, Marc Vales pantas menyelamatkan keadaan.

Matheus Alves hampir meletakkan tuan rumah dihadapan pada minit ke-26 tetapi hantaran lintang cuba dilakukannya membias terkena Mohd Akmal Md Zahir lalu bola terkena palang ketika Ifwat sudah pun tertewas.

Berselang 10 minit, giliran Zaquan Adha Abd Radzak pula terlepas peluang terbaik selepas tandukannya setelah menerima hantaran lintang Che Rashid Che Halim hanya sedikit tersasar sebelah kiri pintu gol lawan.

Negeri Sembilan kemudiannya mendapat sepakan penalti pada minit ke-68, namun sepakan yang diambil Gustavo Almeida Dos Santos sekadar singgah di tiang gol walaupun beliau sudah berjaya memperdayakan Ifwat.

Kedudukan 0-0 menentang Kedah itu kekal hingga tamat permainan untuk membawa Negeri Sembilan ke suku akhir bagi menempah pertemuan dengan Selangor.