Pertahanan Negeri Sembilan FC (NSFC), Che Rashid Che Halim, meletakkan sasaran mahu membawa skuad Hoben Jang Hoben merasai pentas perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2022.

Dia melihat ini detik terbaik membawa Negeri Sembilan mewarnai kembali bahang final selepas 11 tahun dengan adunan pemain-pemain serta jurulatih berpengalaman, K. Devan.

Namun, Che Rashid mahu fokus dari satu ke satu perlawanan terlebih dahulu sambil akui kedudukan Negeri Sembilan masih belum selamat ke suku akhir TM Piala Malaysia 2022 kerana hanya berbekalkan kelebihan satu gol dari Alor Setar selepas menang 2-1.

“Negeri Sembilan kalau diikutkan pemain-pemain dalam pasukan ini biasa sahaja kerana tidak ada ramai pemain berstatus bintang seperti mana pasukan lain.”

“Semangat kekeluargaan serta pengalaman jurulatih, Devan telah membawa Negeri Sembilan sampai ke tahap ini dan momentum pasukan dilihat sangat baik untuk kempen Piala Malaysia.”

“Saya berasa Negeri Sembilan boleh ke final, ini impian saya sebagai seorang pemain dan jika kami boleh berikan sehabis baik dalam tiap perlawanan, tiada apa yang mustahil.”

“Bagaimanapun, saya dan rakan-rakan mahu berikan tumpuan kepada aksi dengan Kedah pada perlawanan kedua (pusingan 16) kerana laluan ke suku akhir masih belum terjamin.

“Negeri Sembilan sama sekali tidak pandang rendah Kedah yang sudah pasti mahu bangkit, jadi kami harap dapat kekalkan prestasi yang sama semasa di Paroi,” katanya.

Pemain yang berasal dari Mersing ini memulakan kariernya bersama negeri kelahirannya, JDT dan JDT II pada musim 2013 sehingga 2020 sebelum dipinjamkan ke Melaka United pada 2021 dan seterusnya bersama Negeri Sembilan, musim ini.

Bersama Negeri Sembilan, Che Rashid menjadi pilihan utama pasukan musim ini apabila turun semua perlawanan dengan 20 kali berada dalam kesebelasan utama dan 4 sebagai pemain gantian.

Che Rashid yang merupakan pertahanan kanan Negeri Sembilan menjaringkan gol penyamaan semasa pertemuan di Stadium Darul Aman pada 27 Oktober lalu sebelum Matheus Alves menghasilkan jaringan kemenangan pada separuh masa kedua.

” Gol itu adalah jaringan pertama saya dengan Negeri Sembilan, sudah tentu sangat gembira kerana akhirnya berpeluang saya letakkan nama dalam senarai penjaring.

“Kalau diikutkan, saya sekadar mencuba sahaja kerana dalam situasi padang yang licin, apa-apa boleh terjadi asalkan kita boleh melepaskan satu cubaan tepat ke
arah gawang lawan.”

“Harap jaringan terbabit menambahkan lagi keyakinan saya semasa situasi menyerang selain tidak gentar membuat percubaan jika mendapat peluang,” katanya.