Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Baki empat perlawanan terakhir Liga Super sememangnya kritikal buat Negeri Sembilan FC yang kini berdepan saingan sengit dari Terengganu FC serta Kedah Darul Aman (KDA) FC selain Sabah FC bagi memburu slot ke pentas Piala AFC, musim depan.

Artikel Berkaitan:

Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, K. Devan, menjelaskan yang mereka mahu menamatkan saingan Liga Super 2022 dengan sekurang-kurangnya dalam kelompok tiga teratas selepas berjaya kekal konsisten hampir sepanjang musim ini.

Walaupun bakal berdepan dua aksi sukar bermula menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 1 Oktober di Stadium Sultan Ibrahim sebelum menjadi tuan rumah kepada Kedah Darul Aman, 7 Oktober, Devan optimis pemain-pemainnya mampu hadirkan tentangan.

“Tiada tekanan buat kami walaupun aksi di Liga Super semakin hampir di kemuncaknya malah saya positif kami boleh berikan fokus yang terbaik untuk empat perlawanan terakhir.

“Semua pemain semakin berkeyakinan dan mereka sangat dahagakan kejayaan daripada apa yang saya lihat, malah semua pemain bebas daripada kecederaan kecuali Ahmad Khuzaimi yang tidak boleh beraksi satu perlawanan berdepan JDT ekoran digantung satu perlawanan.

“Berada di tangga ketiga pada masa ini, saya mahu pasukan kekal di kedudukan sekarang kerana menamatkan cabaran selaku tiga teratas, akan menjamin tempat kami ke Piala AFC pada musim depan.

“Sekiranya kami mampu layak, ini sesuatu yang baik kepada pasukan bermain di pentas tertinggi seperti Piala AFC,” katanya kepada MFL. 

Pemain Tempatan
Sumber Gambar: Negeri Sembilan

Selain aksi berdepan JDT dan Kedah, dua lagi pasukan yang bakal berdepan Negeri Sembilan ialah Melaka United FC serta Sri Pahang FC bagi melengkapkan perjalanan Liga Super 2022.

Mengumpul 35 mata, Negeri Sembilan hanya ditinggalkan satu mata di belakang Sabah namun kini semakin diekori rapat Terengganu yang meraih 32 mata manakala Kedah (27 mata) masih ada kelebihan satu perlawanan di dalam tangan.

Dalam masa sama, Devan menzahirkan rasa gembira dengan prestasi penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi dan pertahanan, Ahmad Khuzaimi Piee yang terus menunjukkan kecemerlangan bersama pasukan kebangsaan terutama di kejohanan King’s Cup 2022, yang berakhir pada Ahad.

Tambahnya, situasi itu sememangnya membanggakan Negeri Sembilan kerana semasa mereka hadir di awal musim, kedua-duanya hanyalah pemain biasa yang tidak pernah berada dalam radar pasukan kebangsaan.

“Saya bersama pihak pengurusan sememangnya berbangga kerana Negeri Sembilan berjaya membentuk dua pemain yang boleh mewakili pasukan negara dan ini sesuatu yang baik untuk masa depan mereka.

“Semasa mereka hadir ke sini, mereka belum lagi berstatus pemain kebangsaan tetapi atas kecemerlangan semasa menyarung jersi Negeri Sembilan, mereka terpilih.

“Malah mereka berdua tampil dengan prestasi terbaik di peringkat antarabangsa dan ini sesuatu yang positif kerana secara tidak langsung membawa nama baik kepada Negeri Sembilan FC yang membantu mereka sampai ke tahap ini,” katanya.