Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa menganggap beliau mampu untuk membantu pasukannya melepasi peringkat kumpulan saingan AFC Champions League (ACL) musim ini.

Menurut laporan Harimau Malaya, Natxo berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan oleh pasukannya yang berjaya menewaskan juara edisi 2020 iaitu Ulsan Hyundai dengan keputusan 2-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim semalam.

Kemenangan tersebut nyata membuatkan Natxo yakin akan kemampuan pasukannya dan berazam untuk membawa JDT melepasi saingan peringkat kumpulan buat pertama kali.

“Kami melakukan kerja yang baik malam ini (semalam) dengan menewaskan salah satu pasukan terbaik di Asia. Kami menang kerana kami berjuang, kami beraksi sebagai satu pasukan, kami mencipta peluang dan kami menyempurnakan peluang yang ada.

“Saya berpendapat TMJ telah melakukan usaha yang terbaik dalam 10 tahun kebelakangan ini untuk memberikan banyak fasiliti kepada pemain, setiap tahun kami bertambah baik dan pemain terbaik menyertai pasukan setiap musim. Itu adalah sebab kenapa kita mampu untuk beraksi menentang pasukan terbaik.

“In sha allah saya mampu untuk membantu pasukan untuk mara ke peringkat seterusnya. Ini adalah sasaran terbesae saya,” kata Natxo Insa.

Fernando Forestieri dan Bergson da Silva sekali lagi menjadi wira JDT dalam kemenangan ke atas Ulsan sekaligus memastikan pasukan itu meraih dua kemenangan berturut-turut setelah sebelum ini menewaskan Guangzhou.

Kemenangan kedua berturut-turut itu meletakkan JDT pada ketika ini di tangga teratas kumpulan I dengan enam mata maksimum. Kedudukan kedua menjadi milik Kawasaki Frontale dengan tiga mata manakala Ulsan Hyundai di tangga ketiga selepas hanya mengutip satu mata.

Pada perlawanan seterusnya, JDT akan turun menentang Kawasaki Frontale yang turut mencipta kemenangan semalam dengan membelasah Guangzhou dengan keputusan 8-0.

Pemain bintang skuad kebangsaan Thailand, Chanathip Songkrasin menyumbang satu jaringan dalam kemenangan besar Kawasaki ke atas Guangzhou dimana beliau mencipta jaringan pada minit ke-69.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

ACL 2022: JDT Terus Cipta Sensasi, Tundukkan Ulsan Hyundai

ACL 2022: BG Pathum Tidak Berdepan Masalah Atasi Jeonnam Dragons

ACL 2022: Kawasaki Frontale Cemerlang Tambah Duka Guangzhou FC