Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mencipta sensasi dalam saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (ACL) 2022 apabila berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Ulsan Hyundai pada aksi kedua Kumpulan I yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Disiplin tinggi para pemain terutamanya barisan pertahanan yang diketuai Shahrul Mohd Saad dan Shane Lowry jelas menjadi antara tunjang kepada kejayaan bermakna buat skuad Harimau Selatan.

Di samping itu, ketenangan Natxo Insa mengemudi jentera tengah serta penyudah hebat ditampilkan Fernando Forestieri dan Bergson da Silva melengkapkan malam gemilang tersebut.

Ulsan Hyundai bermula dengan garang selepas mencipta peluang untuk mendapatkan jaringan pada minit kedua menerusi Leonardo Nascimento. Bagaimanapun, percubaan ‘backheel’ susulan hantaran lintang menarik daripada Lee Chung Yong itu dinafikan Haziq Nadzli di gawangnya.

Hanya seminit kemudian, penyokong JDT melonjak kegembiraan selepas Forestieri yang mendapat lorongan La’vere Corbin-Ong melakukan percubaan ‘placing’ kaki kiri sekali gus hanya mampu dipandang penjaga gol lawan, Jo Hyeon-woo bagi membuka tirai jaringan.

Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers

Perlawanan selepas itu semakin menarik untuk disaksikan dengan kedua-dua pasukan bernafsu untuk mendapatkan jaringan. Tetapi, Haziq dan Hyeon-woo kental tidak mahu membenarkan gawang mereka daripada dibolosi.

Kedudukan kemudiannya kembali terikat pada minit ke-52 apabila pemain gantian, Um Wong-sang mudah menolak masuk bola hasil hantaran ‘cutback’ dilakukan Seol Young-woo.

Berselang empat minit kemudian, Forestieri terlepas peluang keemasan untuk menambah koleksi jaringannya, namun percubaan ketika situasi serangan balas pantas hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Ulsan.

Kelalaian barisan pertahanan Ulsan Hyundai terus menjadi masalah buat mereka dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Bergson yang muncul wira JDT pada minit ke-80 dengan meledakkan rembatan kaki kiri untuk menghadiahkan jaringan kemenangan buat tuan rumah.

Kemenangan kedua berturut-turut itu meletakkan JDT pada ketika ini di tangga teratas dengan enam mata maksimum. Kedudukan kedua menjadi milik Kawasaki Frontale dengan tiga mata manakala Ulsan Hyundai di tangga ketiga selepas hanya mengutip satu mata.

Baca artikel lain mengenai perkembangan kejohanan ACL 2022 melalui pautan dibawah:

ACL 2022: BG Pathum Tidak Berdepan Masalah Atasi Jeonnam Dragons

ACL 2022: Kawasaki Frontale Cemerlang Tambah Duka Guangzhou FC

ACL 2022: JDT Tampil Penuh Bergaya Belasah Guangzhou FC