Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain menuntut konsistensi dijelmakan anak buahnya selepas cemerlang mencatatkan kemenangan berharga ke atas pendahulu Liga Super Malaysia 2021, Johor Darul Ta’zim (JDT), tempoh hari.

Kemenangan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri tersebut nyata melonjakkan moral barisan pemain Terengganu sekali gus mereka kini hanya ketinggalan dua mata di belakang juara tujuh musim berturut-turut itu.

Bagaimanapun, Nafuzi enggan anak buahnya terus dibuai dengan kemenangan tersebut tetapi sebaliknya mahu Carli De Murga dan rakan sepasukan menyajikan aksi sama pada pertemuan menentang Penang, 1 Mei nanti.

Perhitungan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin tersebut juga bukan tugas mudah buat Terengganu kerana skuad bimbingan Thomas Trucha itu sedang menikmati prestasi baik pada ketika ini.

Nafuzi Zain

Nafuzi bersama barisan kejurulatihan meraikan kemenangan bertemu JDT.

Sehubungan dengan itu, Nafuzi beranggapan tiada guna para pemainnya mempamerkan corak permainan kental ketika bertemu JDT tetapi tidak mengulanginya ketika berhadapan Penang nanti.

“Apa yang dicapai oleh pasukan adalah pencetus untuk para pemain mendapatkan keyakinan mereka pada perlawanan akan datang,” ujar Nafuzi menurut kenyataan dikeluarkan laman sesawang rasmi Terengganu FC.

“Hal ini kerana mereka bakal berhadapan dengan sebuah lagi pasukan yang sedang konsisten memungut mata kemenangan iaitu Penang FC.”

“Tiada guna jika kita memenangi perlawanan besar dan berjaya mengutip tiga mata jika perlawanan seterusnya kita tidak mampu mengekalkan apa yang kita buat pada hari ini [kelmarin].”

“Konsistensi adalah perkara utama untuk memastikan kita boleh terus bergerak secara positif untuk memberikan saingan kepada pendahulu liga kerana itulah perkara yang dilakukan oleh mereka sejak 7 tahun lepas menjadikan mereka sebagai juara bertahan,” tambah Nafuzi Zain lagi.

Baca artikel lain mengenai Terengganu FC di bawah.

Terengganu Sentap Ego JDT Di Stadium Sultan Ibrahim

Nasir Basharudin: Disiplin Tinggi, Kurang Kesilapan Jadi Kunci Kemenangan Terengganu

TMJ Secara Santai Melawat Bilik Persalinan Pasukan Terengganu, Ucap Tahniah Menang Keatas JDT

 

 

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group