Terdapat perkembangan baharu mengenai masa depan ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain yang berkemungkinan besar bakal meninggalkan kelab Pantai Timur itu pasa hujung musim ini.

Menurut perkongsian wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, Nafuzi semakin hampir untuk menyertai Kedah Darul Aman sekaligus menjadi pengendali baharu kelab tersebut.

Sebelum ini, seorang lagi wartawan Astro Arena iaitu Zulhelmi Zainal Azam melaporkan musim 2022 berkemungkinan besar menjadi musim terakhir Nafuzi bersama Terengganu dan beliau bakal mencari pengalaman baharu bersama pasukan lain musim hadapan.

“Bagi saya mungkin ini masa yang sesuai untuk cari pengalaman dan cabaran baharu untuk kembangkan karier saya dalam dunia kejurulatihan.

“Lagipun saya belum dapat apa-apa tawaran sebagai ketua jurulatih daripada pihak pengurusan TFC Sdn Bhd. Sebagai jurulatih, saya perlu buat persediaan untuk tentukan hala tuju kerjaya saya.

“Saya sangat sayangkan Terengganu, keluarga saya juga gembira berada di sini tetapi untuk perkembangan kerjaya perlu kepada penghijrahan,,” kata Nafuzi.

Sebelum ini, peminat Terengganu melancarkan kempen di media sosial dimana mereka menggunakan hashtag #NafuziStay bagi menggesa pihak pengurusan agar memberikan kontrak baharu kepada pengendali berusia 43 tahun itu.

Bagi peminat Terengganu, penting untuk Nafuzi Zain kekal bersama pasukan bagi memastikan asas yang telah dibina oleh jurulatih itu dapat diperkuatkan selain memastikan pemain bintang seperti Faisal Halim dan Shahrul Nizam kekal dan tidak berhijrah ke pasukan lain.

Satu lagi kelab yang berpusat di Lembah Klang turut dikaitkan dengan Nafuzi namun Kedah dilihat sebagai calon utama untuk mendapatkan khidmat jurulatih itu.

Nafuzi diberikan tanggungjawab sebagai ketia jurulatih Terengganu pada musim 2019 dimana ketika itu beliau menggantikan Irfan Bakti yang meletak jawatan ekoran prestasi buruk dalam Liga Super.