Penyokong Terengganu mahu ketua jurulatih, Nafuzi Zain untuk kekal mengendalikan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Penyokong melancarkan kempen di laman media sosial dimana mereka menggunakan hashtag #NafuziStay bagi menggesa pihak pengurusan agar memberikan kontrak lanjutan kepada Nafuzi.

Terdapat banyak khabar angin mengenai masa depan Nafuzi terutamanya selepas perlawanan akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dimana baru-baru ini terdapat dua pasukan besar Liga Super yang dilaporkan mahu mengambil khidmat Nafuzi untuk saingan musim hadapan.

Satu pasukan berpusat di Lembah Klang dan satu lagi pasukan di Utara tanah air menjadi calon utama untuk mendapatkan khidmat Nafuzi dan mereka dikhabarkan sedia untuk memberikan tawaran lumayan kepada jurulatih itu.

Kontrak pengendali berusia 43 tahun itu dijangka tamat pada hujung musim ini dan setakat ini, belum ada tawaran untuk melanjutkan kontrak dari pengurusan pasukan Terengganu.

Jika Nafuzi tidak kekal bersama Terengganu musim hadapan, dijangkakan beberapa pemain utama pasukan juga akan meninggalkan pasukan itu sejurus tamat kontrak bersama naib juara Piala FA 2022 itu.

Terengganu bakal menyambung semula aksi Liga Super dimana mereka akan turun menentang Penang di laman sendiri dan Nafuzi Zain menggesa agar pemain melupakan kekecewaan tewas di perlawanan akhir untuk meraih mata penuh menentang Penang.

“Moral pemain sedikit menurun selepas gagal merangkul trofi Piala FA Sabtu lalu, tapi sebagai pemain profesional saya ingatkan kepada mereka agar dapat melupakan episod duka itu dengan fokus 100 peratus dalam saingan liga.

“Berdepan Penang FC, saya harap tiga mata penuh dapat diraih agar kami tidak keciciran mata lagi lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri, jadi pemain perlu mengambil peluang itu dengan sebaik mungkin,” kata Nafuzi.