Meor Abdullah

Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Ketua pasukan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi mahu rakan sepasukannya segera melupakan kekalahan kepada Korea Selatan dan bangkit pada pertemuan kedua saingan Piala Asia B-23 2022, malam esok.

Selepas tewas 1-4 kelmarin, skuad negara akan menghadapi cabaran pasukan yang berjaya ditundukkan pada aksi sulung Sukan SEA tempoh hari, Thailand di Stadium Milliy, Tashkent.

Dengan kemampuan lawan yang sudah diketahui, Mukhairi mengingatkan kepada anak buahnya agar tidak mengambil mudah perlawanan bertemu jiran tetangga tersebut.

Hakikat itu ada asasnya kerana Thailand yang dibimbing bekas pemain import Kelantan, Worrawoot Srimaka kelihatan cukup berbahaya dengan kehadiran trio Ekanit Panya, Thanawat Suengchittawon dan Suphanat Mueanta.

Kredit Foto: FAM

Namun, penjaring gol tunggal negara itu melihat pertembungan ini merupakan peluang terbaik buat skuad negara untuk bangkit dengan nota kemenangan.

“Saya berharap semua pemain dapat lupakan perlawanan semalam [bertemu Korea Selatan] dan dapat kembali fokus untuk menentang Thailand nanti,” ujar Mukhairi Ajmal bercakap selepas sesi latihan semalam.

“Kita tak boleh ambil mudah perlawanan ini dan saya harap kita bangkit daripada kekalahan semalam [kelmarin] dan ini peluang yang terbaik untuk kita.”

“Saya harap kita dapatkan kemenangan ini bagi meningkatkan moral untuk menghadapai perlawanan akan datang,” tambah beliau lagi.

Selepas aksi bertemu Thailand yang boleh dilabel sebagai misi wajib menang untuk menghidupkan peluang ke suku akhir, skuad muda negara akan berhadapan dengan juara Sukan SEA 2021, Vietnam pada aksi terakhir 8 Jun ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad B-23 negara di Uzbekistan melalui pautan dibawah.

AFC B-23: Brad Maloney Tetap Puji Aksi Ditampilkan Anak Buahnya

Piala Asia B-23: Jurulatih Korea Selatan Akui Malaysia Lawan Yang Sukar

Analisis Taktikal: 2 Falsafah Guardiola Digunakan Korea Selatan Menewaskan Malaysia

 

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group