Skuad muda negara mendapat pengajaran berharga dalam kempen Kejuaraan AFC Bawah 23 Tahun (B-23) selepas tunduk 1-4 bertemu Korea Selatan pada aksi sulung yang berlangsung di Stadium Lokomotiv, Tashkent sebentar tadi.

Pertembungan menentang juara bertahan itu menyaksikan terdapat jurang yang cukup besar dapat disaksikan dalam usaha skuad kendalian Brad Maloney itu untuk memberikan saingan pada perlawanan ini.

Aspek kawalan bola serta kurang ketepatan hantaran kepada rakan sepasukan kerap kali menjadi masalah buat para pemain skuad negara berikutan tekanan hebat diberikan Korea.

Skuad negara bagaimanapun bermula dengan cukup baik apabila Hadi Fayyadh Abd Razak yang mendapat umpanan baik daripada Quentin Cheng melakukan percubaan ke arah pintu gol Korea Selatan seawal minit keempat.

Namun, percubaan separa voli dilakukan pemain yang berkelana di Jepun itu berjaya diselamatkan oleh penjaga gol pasukan lawan, Goh Dong Min bagi menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

Berselang seminit kemudian, giliran Mukhairi Ajmal Mahadi pula menguji benteng Korea Selatan tetapi rembatannya dari luar kawasan penalti sekadar tersasar di sebelah kiri pintu gol.

Tersentak dengan dua percubaan tersebut, Korea Selatan yang dibimbing Hwang Seon-hong langsung tidak memberikan ruang kepada pemain skuad negara dan mendominasi aksi sehingga tamat permainan.

Kredit Foto: FAM

Penguasaan yang ditampilkan membuahkan hasil pada minit ke-31 apabila ketua pasukan, Lee Sang-min mudah menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru diambil Lee Kang-in bagi meletakkan Korea Selatan di hadapan.

Jaringan itu jelas meningkatkan lagi keinginan Korea untuk menambah jaringan tetapi barisan pertahanan skuad negara serta penjaga gol, Rahadiazli Rahalim tidak mahu gawang mereka terus dibocori sehingga tamat separuh masa pertama.

Tiga minit selepas aksi babak kedua bersambung, Korea Selatan menambah jaringan kedua menerusi rembatan padu diledakkan Kim Tae-hwan dari luar kawasan penalti susulan keadaan kelam-kabut ketika pemain pertahanan negara gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Permainan pada 10 minit terakhir menyaksikan barisan pemain negara meningkatkan tempo permainan dengan memberikan tekanan ke kawasan kubu Korea Selatan.

Keadaan itu nyata memberikan ruang kepada skuad negara untuk merapatkan defisit jaringan apabila hantaran cantik daripada Nik Akif Syahiran Nik Mat terus mencari Mukhairi Ajmal yang kemudiannya meluru pantas ke dalam kawasan penalti sekali gus dengan tenang membolosi gawang Korea Selatan pada minit ke-82.

Jaringan itu jelas membuatkan para pemain negara untuk mencari jaringan penyamaan tetapi sedikit kealpaan dalam keghairahan bagi mendapatkan jaringan dihukum oleh Chu Yong-wook yang mendapatkan dua jaringan pada minit ke-88 dan 92.

Dengan kekalahan tersebut, skuad muda negara tiada jalan lain selain daripada mencatatkan kemenangan pada baki pertemuan dengan Thailand dan Vietnam untuk layak ke suku akhir.