Manchester United berjaya melakar kemenangan 4-1 ke atas Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sekaligus memastikan rival mereka iaitu Liverpool terlepas slot untuk beraksi di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim hadapan.

United akan menyertai juara liga, Manchester City, Arsenal dan Newcastle untuk bersaing dalam kelompok elit Eropah musim depan.

Penyerang Liverpool, Mohamed Salah mengakui sangat kecewa apabila pasukannya  gagal layak ke UCL buat kali pertama dalam tujuh musim.

Prestasi Liverpool menjunam teruk musim ini selepas begitu hampir untuk meraih empat kejuaraan musim lalu.

“Saya amat kecewa. Tiada alasan untuk ini. Kami mempunyai segala yang diperlukan untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan tetapi gagal.

“Kami adalah Liverpool dan layak ke kejohanan itu adalah tuntutan paling kecil. Saya minta maaf, tetapi terlalu awal untuk kenyataan positif. Kami buat anda dan diri kami sendiri kecewa,” kata Salah yang meledak 30 gol dalam semua pertandingan musim ini.

Liverpool Everton
Kredit Foto: Twitter Liverpool FC

Musim depan Liverpool dan Brighton & Hove Albion bakal beraksi di UEL manakala tiga pasukan iaitu Aston Villa, Tottenham Hotspur dan Brentford bersaing bagi merebut tempat ke Conference League.

Bagaimanapun bintang Mesir itu menamatkan spekulasi berkenaan masa depannya di Anfield dengan menandatangani kontrak baharu untuk tiga tahun pada tahun lalu.