Manchester United berjaya melakar kemenangan 4-1 ke atas Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sekaligus memastikan rival mereka iaitu Liverpool terlepas slot untuk beraksi di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim hadapan.

Anak buah Eric ten Hag nyata tidak berdepan masalah untuk menewaskan Chelsea yang seakan-akan sudah menyerah kalah dengan saingan musim ini.

Casemiro membuka tirai jaringan seawal minit ke-6 diikuti dengan jaringan Anthony Martial sebelum wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan.

Bersambung separuh masa kedua, Bruno Fernandes dan Marcus Rashford menambah dua lagi gol manakala Chelsea mendapat satu gol sagu hati menerusi Joao Felix pada minit ke-89.

Kemenangan Manchester United ke atas Chelsea ini memastikan Liverpool terlepas slot untuk beraksi dalam saingan UCL dan akan kembali ke saingan UEFA Europa League (UEL) buat kali pertama dalam tujuh musim.

Selain United, tiga lagi kelab turut layak ke UCL musim hadapan iaitu Manchester City selaku juara, Arsenal dan Newcastle United.

Liverpool dan Brighton & Hove Albion bakal beraksi di UEL manakala tiga pasukan iaitu Aston Villa, Tottenham Hotspur dan Brentford bersaing bagi merebut tempat ke Conference League.