Isu tunggakan gaji pemain nampaknya telah menjadi perdebatan hangat diantara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan badan pentadbir liga, Malaysian Fooball League (MFL) dengan Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

Terbaharu, MFL hari ini telah menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh PFAM menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail bertajuk ‘BALA RM6.4 JUTA’ berkaitan tunggakan gaji pemain adalah satu laporan tidak tepat.

BacaPFAM Dedahkan 12 Pasukan Mempunyai Tunggakan Gaji Berjumlah RM6.4 Juta

“Selain nilai jumlah hutang dan fakta mengenai pasukan terbabit tidak tepat seperti yang disahkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam, kenyataan Izham yang menyelar industri bola sepak tanah air sudah tenat dan tidak mapan untuk bergerak sebagai satu industri adalah tuduhan liar tanpa melihat usaha ramai pihak untuk memperbetulkan kelemahan yang ada.

“Memang diakui isu tunggakan gaji pemain bukan sesuatu yang baharu namun MFL sebagai badan pentadbir Liga Malaysia sentiasa berusaha keras untuk memperbaiki proses atau sistem tertentu dan bukannya sekadar menunding jari kepada mana-mana pihak tanpa mengemukakan jalan penyelesaian,” tegas MFL dalam satu kenyataan.

MFL laksanakan kawalan ekonomi pada musim depan

Bagi membendung masalah hutang dan tunggakan gaji dalam kalangan pasukan Liga Malaysia, MFL bakal memperkenalkan peraturan kawalan ekonomi pada musim depan.  Peraturan ini telah digunapakai di Sepanyol oleh LaLiga dan di awal pelaksanaannya pada 2012, LaLiga sendiri berdepan masalah hutang keseluruhan melebihi €600 juta (RM2.8 billion) termasuk €90 juta (RM422.87 juta) bagi tunggakan gaji pemain.

“Dengan nilai jumlah hutang yang lebih besar ditanggung LaLiga berbanding apa yang berlaku dalam kancah bola sepak tempatan, adakah LaLiga berdepan industri bola sepak yang tenat dan tidak boleh berkembang?

“Jawapannya adalah tidak kerana apa yang diperlukan disini adalah perlaksanaan sistem yang betul, tempoh masa dan kerjasama semua pihak.

“Ini terbukti apabila LaLiga telah berjaya menghapuskan bebanan hutang tunggakan gaji sebanyak €90 juta (RM422.87 juta) pada 2012 menjadi sifar pada 2017 sekali gus berjaya menyelesaikan masalah kemelut gaji di antara pasukan dan pemain dalam tempoh lima tahun.

“Jika sebelum itu beberapa pasukan daripada 42 kelab LaLiga berdepan status bankrap tetapi dengan implikasi peraturan kawalan ekonomi menyaksikan mereka berjaya menyelesaikan hutang dan berbelanja mengikut kewangan mereka.

“Menerusi peraturan kawalan ekonomi LaLiga itu juga menyaksikan kesemua 340 kes hutang pada 2012 selesai dalam tempoh lima tahun,” katanya.

67693366_1952115934889679_943695703245324288_n

Bayaran hak penyiaran pasukan turut dipotong untuk jelaskan tunggakan gaji pemain

Selain itu, MFL turut bertindak membayar tunggakan gaji pemain menerusi pemotongan pendapatan hak penyiaran termasuk musim ini ke atas beberapa pasukan seperti yang diputuskan oleh FAM.

“Semua pihak sedang berusaha dalam memastikan isu-isu berkaitan masalah tunggakan gaji pemain dapat diatasi tetapi ia tidak boleh diselesaikan dalam tempoh jangka masa pendek.

“Namun jika ada mana-mana pihak termasuk PFAM mahu mensensasikan isu ini atau menarik perhatian ramai pihak biarpun fakta itu sendiri tidak betul selepas dijelaskan oleh FAM, apakah yang akan terjadi terhadap rancangan-rancangan sedia ada serta usaha semua pihak bagi menambah baik kelemahan ini?

“Penyelesaian dalam isu ini mengambil masa dan LaLiga sendiri terpaksa mengambil masa selama lima tahun dalam usaha mengatasi masalah isu tunggakan gaji pemain. Jadi, kita tidak boleh mengatakan dengan hanya memiliki idea ia mampu menyelesaikan segala masalah dan berubah dalam sekelip mata,” jelas kenyataan itu.

Bidas kritikan PFAM terhadap pelan F30 dan Next50

“Kepada pihak yang mempersoalkan perancangan F30 dan Next50, adakah mereka mempunyai perancangan tersendiri untuk mengatasi masalah atau hanya tahu mengkritik tanpa mahu membantu.

“Jadi tidak perlu bertindak melulu dalam membuat kenyataan untuk menidakkan sebarang usaha yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan pada masa akan datang oleh FAM dan MFL demi kebaikan bersama,” petikan daripada perenggan akhir kenyataan MFL.

Sumber