Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) hari ini mendedahkan 12 pasukan Liga Malaysia masih mempunyai tunggakan gaji berjumlah RM6.4 Juta dan menuntut pelbagai pihak menyelesaikan isu tersebut dengan segera.

Menurut kenyataan daripada Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail, antara pasukan yang terlibat ialah Melaka, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, ATM, PDRM, FELDA United, Perlis, Terengganu City FC, Hanelang, Kuantan FA dan Marcerra United.

“PFAM ingin menegaskan betapa sehingga kini, pasukan-pasukan ini masih mempunyai tunggakan gaji kepada para pemain, dan dukacita dimaklumkan bahawa sehingga kini, masih tiada jaminan bahawa hutang tunggakan ini akan dijelaskan dalam masa yang terdekat.

“Dapatan yang dibuat ini adalah berdasarkan aduan rasmi yang telah diterima oleh PFAM, dan kebanyakkannya sudah pun mendapat keputusan daripada Jawatankuasa Status FAM, dan masih ada lagi yang sedang menunggu tarikh perdengaran kes.

“Jumlah ini tidak termasuk jumlah tunggakan potongan LHDN, caruman KWSP dan caruman PERKESO. Jumlah tunggakan secara keseluruhan dijangka akan bertambah memandangkan ketika ini masih ada lagi aduan yang sedang diproses oleh PFAM untuk difailkan ke Jawatankuasa Status FAM,” kata kenyataan tersebut.

Melaka United, Kelantan, Negeri Sembilan dan Pahang berdiam diri

Mereka turut mempersoalkan tindakan dua pasukan Liga Super dan Liga Premier yang tidak menjelaskan hutang mereka walaupun sudah mendapat bayaran hak penyiaran daripada badan pentadbir Liga, Malaysian Football League (MFL).

“PFAM amat kecewa, memandangkan sebelum ini pasukan menggunakan alasan sedang menunggu wang geran hak penyiaran daripada MFL untuk menyelesaikan hutang, namun begitu setelah MFL membuat pengumuman bahawa wang sudah diberikan, pasukan-pasukan ini masih tidak membuat bayaran seperti yang dijanjikan.

Pasukan-pasukan seperti Melaka, Kelantan, Negeri Sembilan dan Pahang masih berdiam diri berhubung perkara ini,” katanya.

ATM, PDRM, Felda United langgar janji, nasib pemain daripada pasukan terkubur tidak terbela

Malah, Izham turut mendedahkan ada pasukan yang sudah membuat perjanjian untuk bayaran secara berperingkat kepada pemain, namun masih melanggar perjanjian tersebut seperti pasukan ATM, PDRM dan Felda FC.

“Selain itu, nasib para pemain daripada pasukan-pasukan yang sudah ditutup terus terpinggir dan tidak terbela. Pemain-pemain Perlis, TCFC, Hanelang, Kuantan FA dan Marcerra United terus berada dalam keadaan yang tidak menentu, kerana kelompongan struktur sedia ada yang tidak memberi sebarang jaminan terhadap nasib para pemain ini,” tambahnya.

Kerajaan Negeri digesa tampil beri bantuan

“PFAM menyeru perhatian Kerajaan Negeri – jika ini langkah terakhir- untuk tampil memberikan bantuan berhubung perkara ini. Lihatlah ia sebagai isu rakyat, dan bukan sekadar masalah bolasepak.

“Sesungguhnya, hal ini amat memerlukan pemimpin yang berjiwa besar untuk turun dan membantu para pemain yang selama ini telah bertungkus lumus berjuang atas nama anak negeri,” katanya. 

Angka sebenar tunggakan gaji lebih besar

PFAM turut menambah, nilai tunggakan RM6.4 Juta ini masih belum boleh menggambarkan angka sebenar hutang dalam industri bolasepak negara memandangkan ini hanyalah merupakan tunggakan yang dilaporkan oleh pemain, dan mereka juga percaya angka ini sebenarnya lebih besar jika dihitung bersama tunggakan yang turut dialami oleh barisan staf kejurulatihan dan juga pemain-pemain import yang menggunakan saluran sendiri.

Begitu juga maklumat-maklumat tidak rasmi yang diterima oleh PFAM, tetapi para pemain masih berdiam kerana ingin memberi masa kepada pasukan.

“Angka RM6.4 JUTA ini harus diakui, adalah simbol sebuah kegagalan urustadbir yang profesional dalam kalangan pasukan di Malaysia. RM6.4 JUTA ini, adalah bukti betapa industri bolasepak kita sedang tenat, atau mungkin ia tidak lagi mapan untuk bergerak sebagai sebuah industri.

“Angka RM6.4 JUTA, kita sedang menghantar mesej moral yang sangat negatif buat anak-anak kecil yang berimpian untuk memasuki industri ini. PFAM berasa teramat kecewa dengan pihak-pihak yang lepas tangan serta pihak menuding jari bermain “blame game”, lantas menzalimi para pemain yang bergantung sepenuhnya terhadap industri ini.

“Malah percayalah, kita tidak akan mampu bergerak ke arah F30 mahupun NEX50 sekiranya kita masih terperangkap dalam kerangka RM6.4 JUTA ini,” tegasnya.