Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Nur Azmi mengesahkan pasukan Melaka United bakal berwajah baharu dan beraksi dalam saingan liga amatur, Liga M3 musim depan.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataannya dalam Sinar Harian, pasukan tersebut akan ditukar nama kepada Harimau Melaka FC dan dijangka memulakan latihan pada Disember depan.

“Lupakan cerita lama, buka buku baharu. Jenamakan semula pasukan sebagai Harimau Melaka FC. Ada yang mahu kekal bersama kita dan pasukan dibarisi pemain tempatan.

“Sudah ada beberapa nama, cuma belum pasti sama ada mahu pilih jurulatih tempatan atau import. Kita buat persiapan awal dan mereka dijangka mula berlatih awal bulan depan,” katanya kepada Sinar Harian.

Malaysia Football League (MFL) sebelum ini mengumumkan rayuan Melaka untuk memohon Lesen Kebangsaan telah ditolak kerana kegagalan mereka memenuhi dokumentasi sekaligus disingkirkan dan tidak dibenarkan beraksi di Liga Super musim depan.

Melaka United didapati tidak mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Ogos 2022 serta tidak menyerahkan dokumen berkaitan bagi memenuhi syarat sub kriteria kewangan F.04 dan F.11.

Justeru itu, Nur Azmi yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meletakkan sasaran Harimau Melaka sebagai juara Liga M3 dan kembali semula ke Liga Super pada tahun 2024.

“Lesen kelab mereka masih boleh guna, namun nama pasukan perlu ditukar, tidak boleh lagi guna Melaka United FC.

“Kita perlu muncul juara Liga M3 musim depan untuk ke Liga Super pada 2024. Kebajikan pemain akan dijaga dengan baik termasuk pembayaran gaji serta insentif lain termasuk bonus kemenangan.

“Fasiliti termasuk stadium sudah ada dan kita percaya pada tahun 2024 Harimau Melaka FC kembali beraksi di Liga Super,” jelasnya.