Salah sebuah media Sepanyol, Marca melaporkan penyerang Rayo Vallecano, Radamel Falcao bersedia untuk menyertai juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT)

Kontrak Falcao bakal berakhir pada bulan Jun ini dan menurut laporan media tersebut, beliau bersedia untuk mencuba cabaran baharu dengan beraksi bersama JDT.

“Radamel Falcao sedang menilai tawaran yang ada untuk segera menandatangani kontrak bersama juara sepuluh musim terakhir Liga Super Malaysia dan pemenang Piala Malaysia baru-baru ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kini dibimbing oleh Esteban Solari.

“JDT yang dimiliki oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu menandatangani penyerang Colombia itu selama dua musim dan dia akan terus menjadi duta untuk kelab dan bandar itu selepas itu. Sementara menunggu rundingan terakhir, penyerang itu sudah menunjukkan dirinya bersedia untuk menghadapi cabaran baharu,” dipetik dari laporan Marca.

Sekiranya bekas penyerang Chelsea dan Atletico Madrid itu menandatangani kontrak bersama JDT, maka beliau akan menjadi pemain berprofil tinggi kedua yang menyertai skuad Harimau Selatan selepas Pablo Aimar pada 2013.

Falcao mula beraksi bersama Rayo Vallecano sejak musim 2021 dimana beliau sebelumnya menyarung jersi kelab Turki, Galatasaray selama dua musim.

Sebelumnya, beliau pernah beraksi dengan beberapa kelab ternama di Eropah seperti FC Porto, Atletico Madrid, AS Monaco, Manchester United dan Chelsea.

Pemain berusia 37 tahun itu bakal bersaing dengan Bergson da Silva, Fernando Forestieri dan Diogo Luis Santo sekiranya menyertai JDT.