Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi atau dikenali sebagai Mat Don bakal kembali beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim 2023 apabila dilaporkan sertai sesi latihan  Terengganu FC (TFC) di bangkok.

Liridon sebelum ini tiada dalam senarai pemain kelab Thailand, Khon Kaen United bagi menghadapi baki saingan musim 2022/2023 dan ia bermakna beliau telah dilepaskan oleh pasukan itu setelah menyertainya secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Terengganu merupakan kelab keempat Liga Malaysia disertai oleh pemain yang berusia 31 tahun itu. Selain JDT, beliau pernah menyarung jersi Kedah Darul Aman ketika dibawah bimbingan Tan Cheng Hoe serta Melaka United.

Pada tahun 2021, Mat Don sempat merasai pengalaman beraksi dalam 9 perlawanan A-League apabila dipinjamkan ke Newcastle Jets selama 6 bulan.

Kemudian, beliau menyertai kelab Liga India iaitu Odisha dan diiktiraf sebagai ‘Raja Gelecek’ Liga Super India (ISL) untuk musim 2021/22. Berdasarkan statistik yang dikongsi oleh ISL, Liridon memiliki purata 91.67% kejayaan melepasi lawan hasil skil individunya itu.

Malah, beliau turut digelar sebagai ‘The General’ di kalangan pengikut ISL dimana beliau membuat 16 penampilan secara keseluruhan untuk kelab yang berpengkalan di Bhubaneswar sepanjang musim.

Sejak itu, Liridon dipanggil menyertai skuad kebangsaan dibawah kendalian Kim Pan-gon menghadapi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa di Singapura dengan menentang tuan rumah selain Filipina dan Albirex Niigata Singapore dimana beliau menjaringkan dua gol.

Bagaimanapun, nama beliau digugurkan daripada senarai akhir 23 pemain untuk menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2023 tahun lepas.

Bersama Terengganu merupakan peluang terbaik beliau untuk kembali memikat Kim Pan-gon dan mendapatkan lebih banyak minit permainan apatah lagi skuad penyu bakal beraksi dalam saingan Piala AFC musim ini.