Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi menyuarakan kekecewaan beliau terhadap kritikan yang dilontarkan oleh peminat bola sepak tanah air terhadap Mohamadou Sumareh selepas Malaysia tewas kepada Tajikistan pada perlawanan akhir kejohanan empat penjuru iaitu King’s Cup 2022 di Chiang Mai, semalam.

Menerusi laman Instagram Story miliknya, Liridon memuat naik satu gambar yang menyatakan pemain naturalisasi dianggap sebagai warga Malaysia sekiranya pasukan kebangsaan menang namun sekiranya kalah, mereka digelar sebagai imigran.

Liridon Krasniqi
Sumber Gambar: Instagram Liridon Krasniqi

“Kita dianggap warga Malaysia apabila menang. Bila kalah, kita adalah imigran,” dipetik dari gambar yang dimuat naik oleh Liridon.

Pada aksi menentang Tajikistan, ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon memberikan peluang kepada Sumareh untuk tampil dalam kesebelasan utama bagi menggantikan Arif Aiman yang beraksi pada perlawanan sebelumnya bertemu Thailand.

Akan tetapi, pemain itu gagal untuk menampilkan prestasi terbaik dimana beliau dilihat sedikit bergelut sekaligus menyebabkan jentera serangan pasukan negara dilihat tumpul dan tidak menghadirkam ancaman kepada kubu pertahanan pasukan lawan.

Detik yang paling mengecewakan apabila Mohamadou Sumareh hampir saja dibuang padang selepas melakukan terjahan berbahaya terhadap pemain lawan iaitu Ehsoni Panshanbe ketika beliau sudah dilayangkan kad kuning sebelumnya.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai, Malaysia terikat tanpa jaringan dengan Tajikistan pada masa sebenar permainan dan perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti bagi menentukan pemenang.

Sebelum itu, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed di pintu gawang skuad negara meneruskan kecemerlangan dalam menafikan tiga percubaan jarak jauh cukup menarik yang dilakukam oleh oleh Mukhammadzhon Rakhimov, Ekhson Pandzhshanbe dan Manuchekhr Safarov.

Anak buah Petar Segrt berpeluang untuk mendapatkan gol kemenangan pada minit ke-84 tetapi jaringan Rustam Soirov dibatalkan oleh pengadil kerana beliau terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Kegagalan tiga pemain negara iaitu Dion Cools, Nazmi Faiz Mansor dan Safawi Rasid menyempurnakan sepakan penalti jelas menghampakan untuk kejuaraan menjadi milik negara Asia Tengah itu walaupun Ahmad Syihan Hazmi berjaya menyelamatkan sepakan pertama Akhtam Nazarov.

Sementara itu, Thailand menduduki tempat ketiga selepas menundukkan Trinidad & Tobago 2-1 hasil jaringan daripada Channarong Promsrikaew dan Suphacok Sarachart.