Manchester City meneruskan rentak cemerlang dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2022/23 apabila menumpaskan wakil dari Denmark, FC Copenhagen 5-0 pada aksi yang berlangsung di Etihad Stadium, sebentar tadi.

Ia merupakan kemenangan ketiga berturut-turut dilakarkan The Cityzens untuk menghuni tangga teratas kumpulan G dengan sembilan mata.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu berkelebihan tiga mata dihadapan pencabar terdekat, Borussia Dortmund manakala Copenhagen dan Sevilla yang hanya mencatatkan satu kemenangan dan dua kekalahan berada di ketiga dan keempat.

Penyerang berbisa, Erling Braut Haaland dilihat kian bernafsu untuk memburu jaringan selepas beliau menyumbangkan dua gol dan kemudiannya beliau dikeluarkan sebelum sepak mula aksi babak kedua.

Pemain kelahiran Leeds itu tidak menunggu lama untuk meletakkan pasukan tuan rumah dihadapan apabila rembatannya dalam kawasan penalti selepas menerima hantaran lintang Joao Cancelo gagal diselamatkan penjaga gol, Kamil Grabara pada minit ketujuh.

Berdepan FC Copenhagen yang jelas bukan tandingan mereka, Manchester City kian bernafsu menjelmakan serangan untuk menambah jaringan tetapi Grabara seringkali menjadi penghalang usaha mereka.

Serangan bertubi-tubi yang diberikan jelas tidak mampu lagi dihalang Grabara selepas Haaland mudah menolak masuk bola pada minit ke-32 selepas percubaan awal dilakukan Sergio Gomez dapat ditepis penjaga gol tersebut.

Berselang tujuh minit, rembatan Gomez dari luar kawasan penalti terkena Denis Vavro yang kemudiannya membias Davit Khocholava lalu Grabara hanya mampu melihat bola bergolek masuk ke gawangnya sendiri.

Kedudukan terus berubah ketika permainan memasuki minit ke-55 setelah Riyad Mahrez menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan ekoran kekasaran dilakukan Marko Stamenic ke atas Aymeric Laporte.

Tidak cukup dengan itu, Julian Alvarez menutup pesta jaringan dengan jaringan kelima apabila beliau mudah menyudahkan hantaran lintang dilakukan Mahrez pada minit ke-76 .