Malaysia meneruskan rentak kemenangan dalam Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 selepas berjaya menundukkan Maldives 3-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Kemenangan itu bukan sahaja dapat meningkatkan moral para pemain negara menjelang sepak mula kempen Piala AFF Mitsubishi Electric 2022, malah ia turut memberikan gambaran jelas skuad utama bakal dibariskan Kim Pan-gon nanti.

Peledak harapan skuad Malaysia, Darren Lok hampir membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 tetapi percubaan kaki kirinya selepas menerima hantaran lintang daripada Brendan Gan diselamatkan penjaga gol Maldives, Hussain Shareef.

Darren menebus kehampaan itu pada minit ke-24 apabila beliau mengambil kesempatan diatas kesilapan pemain pertahanan, Hussain Sifaau Yoosuf dalam kawasan penalti bagi memberikan kelebihan buat skuad negara.

Kredit Foto: Syamil Rosli I PFA Malaysia

Ketua pasukan, Safawi Rasid terlepas peluang untuk menambah jaringan kedua pada minit ke-37 tetapi sepakan percumanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol lawan.

Sebaik sahaja aksi babak kedua bersambung, Darren gagal menyempurnakan peluang terhidang apabila percubaannya ketika tidak dikawal pertahanan lawan selepas menerima hantaran lintang Faisal Abdul Halim hanya meliar.

Ketika permainan memasuki minit ke-64, Darren melakukan lorongan baik kepada Faisal Halim yang kemudiannya disudahkan dengan baik pemain lincah tersebut bagi melebarkan kedudukan.

Faisal hampir menambah jaringan kedua peribadinya pada minit ke-68 dan 71 tetapi tandukannya selepas menerima hantaran lintang Brendan Gan melewati palang gol manakala percubaan jarak jauh dilakukan ditepis keluar Hussain Shareef.

Ketika aksi semakin menghampiri penghujung, Lee Tuck memastikan kemenangan 3-0 buat skuad negara apabila beliau dengan tenang menolak masuk   hantaran Sergio Aguero pada minit ke-88.