Seramai 11 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) telah diketepikan daripada senarai pemain yang akan menjalani sesi latihan pusat skuad kebangsaan bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Kemboja dan Maldives bermula 29 November nanti.

Seperti yang dilaporkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebentar tadi, pemain-pemain tersebut termasuk tonggak tengah Pahang, Muhamad Nor Azam Abdul Azih pada mulanya berada dalam senarai Kim Pan-gon tetapi terpaksa dilepaskan atas urusan peribadi, komitmen keluarga atau masalah kecederaan.

Ia berdasarkan Peraturan Status Perpindahan Pemain Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA); Lampiran 1: Bahagian Pelepasan Pemain Kepada Pasukan Kebangsaan Perkara 6 yang menyatakan bahawa kelab tidak diwajibkan untuk melepaskan pemain di luar jendela antarabangsa atau pertandingan dan tidak wajib melepaskan pemain yang sama untuk lebih dari satu perlawanan akhir pasukan wakil “A” setiap tahun di mana pengecualian kepada peraturan ini boleh ditetapkan oleh Majlis FIFA bagi Piala Konfederasi FIFA sahaja.

Menurut FAM lagi, sebagai menghormati Peraturan FIFA, 12 pemain tersebut tidak akan disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya ke Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Pemain dari JDT yang dimaksudkan ialah Shahrul Mohd Saad, La’vere Lawrence Corbin-Ong, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Arif Aiman Mohd Hanapi, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Matthew Davies, Muhammad Syafiq Ahmad, Mohd Afiq Fazail, Muhammad Syahmi Safari, Nathaniel Shio Hong Wan dan Natxo Insa.

Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Hanya Muhammad Safawi Rasid dan Muhammad Ramadhan Saifullan Usman menjadi pemain daripada JDT yang tersenarai untuk panggilan kali ini.

Bagi posisi penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed telah terpilih bersama-sama Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Muhammad Azri Ghani dan Muhammad Rahadiazli Rahalim.

Dion Cools pula akan mengetuai jentera pertahanan disamping pemain-pemain seperti Ahmad Khuzaimi Piee, Dominic Tan, Azam Azmi Murad, Sharul Nazeem Zulpakar, Declan Lambert, Quentin Cheng dan V. Ruventhiran.

Mukhairi Ajmal Mahadi, Brendan Gan, Nur Hakim Hassan, Stuart Wilkin, Akram Mahinan, R. Kogileswaran, David Rowley, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau, Nur Shamie Iszuan Amin dan Mohd Faiz Nasir akan merebut tempat di posisi tengah.

Manakala bahagian serangan pula akan diisi Darren Lok, Muhamad Faisal Abdul Halim, Safawi Rasid, Ramadhan Saifullah serta tiga muka baharu iaitu Lee Tuck, Sergio Aguero dan Muhammad Haqimi Azim Rosli.

Malaysia akan bertemu Kemboja pada 9 Disember di Stadium Nasional Bukit Jalil dan Maldives pula menanti berselang lima hari kemudian pada aksi yang bakal berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.