Luton Town melakar sejarah apabila layak ke Liga Perdana Inggeris buat kali pertama selepas menewaskan Coventry City pada final playoff Championship di Stadium Wembley semalam.

Luton terlebih dahulu membuka akaun jaringan melalui Jordan Clark pada minit ke 23 sebelum Coventry menyamakan kedudukan menerusi aksi Gustavo Hamer pada minit ke 66.

Perlawanan terpaksa diheretkan kepada penentuan sepakan penalti setelah terikat 1-1 sehingga masa tambahan.

Bagaimanapun, kegagalan pemain Coventry, Fankaty Dabo menyempurnakan penalti terakhir sekaligus mengesahkan kemenangan menjadi milik Luton Town.

Luton Town akan menyertai Sheffield United dan Burnley beraksi di Liga Perdana Inggeris musim depan. Mereka sebenarnya pernah merasa beraksi di divisyen teratas Liga Inggeris pada musim 1991 hingga 1992 sebelum Liga Perdana Inggeris (EPL) ditubuhkan.

Perjalanan kelab ini ke Liga Perdana Inggeris tidak mudah dan penuh cabaran serta dugaan. Mereka merupakan pasukan ‘non-League’ pada musim 2009 hingga 2014 dan sejak itu mula mendaki promosi liga.

Pernah mengalami masalah kewangan yang membuat kelab itu jatuh teruk sehingga terperosok di liga bawahan. Namun ia tidak menghalang mereka melakukan pelbagai perubahan demi mencapai cita-cita beraksi di liga divisyen utama Inggeris.

“Menghabiskan lima tahun di Non-League memberikan kami pengajaran berguna dalam proses membangunkan asas dan kestabilan yang terus menguntungkan kelab hingga ke hari ini,” kata CEO Luton Town, Gary Sweet.

Lebih menarik, Luton Town akan menjadi tumpuan musim depan kerana beberapa kelab gergasi seperti Manchester United, City, Liverpool dan Arsenal berpeluang merasai pengalaman beraksi di Stadium Kenilworth Road.

Stadium unik ini dikelilingi kawasan perumahan dan hanya mempunyai kapasiti sebanyak 10,356 tempat duduk. Ianya stadium terkecil Liga Perdana Inggeris yang terletak betul-betul di belakang rumah dan berada di bawah bilik tidur.

Namun begitu, stadium ini akan dinaiktaraf  bagi memenuhi standard Liga Perdana Inggeris seperti keselamatan teres, fasiliti media, lampu limpah, kualiti CCTV, dan lain-lain.

Hadiah kemenangan yang bernilai di antara £135 juta hingga £265 juta hasil daripada promosi boleh membantu pasukan untuk perbelanjan naiktaraf stadium yang memakan belanja sebanyak £10 juta.

Proses naiktaraf ini dijangka selesai pada tahun 2026 dan ia tetap diteruskan tanpa mengambil kira kedudukan pasukan sepanjang 4 tahun tersebut.