Bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva kembali menjadi sebutan dalam kalangan peminat bola sepak antarabangsa apabila namanya menjadi antara calon pilihan untuk menyertai kelab utara Wales, Wrexham AFC.

Wrexham baru sahaja bergelar juara National League (Liga divisyen 5 dalam piramid Liga Inggeris) dan dipromosi ke EFL 2 (English Football League) selepas 15 tahun menghilang.

Mereka kini sedang mencari penyerang baharu bagi memperkuatkan pasukan musim depan dan peminat Wrexham dari Brazil ini telah mencadangkan 4 nama yang realistik untuk ditandatangani oleh kelab milik dua bintang Hollywood, Ryan Reynolds dan Rob McElhenney itu.

Menerusi perkongsian di laman twitter Wrexham Brazil, nama Bergson tersenarai kerana memiliki penyudah yang tajam dan rekod luar biasa berdasarkan prestasi bersama JDT dalam Liga Malaysia.

Selain Bergson, 3 nama yang lain ialah Robinho Azevedo (Liga Bangladesh), Leandro Damiao (Liga Jepun), dan Andre Clovis (Liga Portugal).

“Liga Malaysia mungkin setaraf dengan kualiti pasukan pertengahan National League, saya percaya Bergson akan bermain di EFL Two dengan mudah.

“Gandingan serangan Bergson dengan Paul Mullin mampu meletup dalam Liga Divisyen 4 Inggeris. Bergson juga merupakan bekas penjaring terbanyak Serie B di Brazil,” kata peminat Wrexham dari Brazil itu.

Bergson sememanganya antara penyerang import yang paling berbisa dalam Liga Malaysia setakat ini apabila dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Super 2022 dengan 29 gol.

Ini adalah rekod baharu Liga Super mengatasi rekod terdahulu dihasilkan oleh Ifedayo Olesegun dengan 26 jaringan ketika masih bersama Selangor FC pada musim 2021.

“Bergson boleh menjadi pilihan alternatif yang baik dan murah kepada Wrexham. Lebih baik beliau beraksi di Liga EFL Two berbanding Liga Malaysia,” tambah peminat Wrexham itu.

Beliau juga turut membuktikan ketajaman dalam saingan AFC Champions League (ACL) apabila meledak 6 gol.

Rekod itu meletakkan Bergson di tangga ketiga dalam senarai penjaring terbanyak ACL 2022 bersama pemain Urawa Red Diamonds, Yusuke Matsuo.

Malah tahun lepas, Bergson tersenarai antara 5 penyerang yang menjaringkan gol paling banyak di dunia sebaris dengan bintang terkemuka seperti Kylian Mbappe, Erling Haaland, German Cano dan Robert Lewandowski.

Sky Sports Italia meletakkan Bergson sebagai penjaring dengan purata jaringan tertinggi — 1.27 gol untuk setiap perlawanan.

Berdasarkan rekod, JDT dilaporkan membayar yuran perpindahan sebanyak RM1.6 Juta bagi menandatangani Bergson Da Silva secara tetap dari Fortaleza pada tahun 2021.

Nilai pasaran Bergson kini telah meningkat dan ia berpotensi memberi pulangan yang tinggi kepada JDT jika Wrexham benar-benar berminat untuk mendapatkan khidmat pemain itu musim depan.

Wrexham merupakan kelab kerdil tapi kaya dengan sejarah. Di mana mereka merupakan pemilik kepada salah sebuah stadium bola sepak tertua di dunia di Racecourse Ground, yang dibuka pada 1807.