Bekas pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim menegaskan mustahil untuk beliau menjadi presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ekoran beberapa faktor.

Dalam satu temu bual bersama Harimau Malaya, Teong Kim berkata mustahil untuk beliau menjawat sebagai presiden FAM kerana ramai kroni dalam persatuan itu.

“Tiada peluang langsung untuk saya menang jawatan sebagai Presiden FAM. Terlampau banyak kroni yang ada di sana jadi saya tidak mungkin akan dapat jawatan itu,” katanya.

Lim Teong Kim
Lim Teong Kim

Dalam masa yang sama, beliau berharap ada rombakan drastik yang dilakukan dalam badan bola sepak negara itu termasuk menukar presiden ketika ini, Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Sebab itu saya kata bola sepak Malaysia perlu presiden baru, yang berani membuat keputusan yang orang tak suka tetapi bola sepak akan maju,” tambahnya.

Sebelum ini, Lim Teong Kim menyalahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) di atas kegagalan skuad B-23 tahun negara melepasi peringkat kumpulan saingan AFF B-23 Tahun.

Skuad kendalian Bra Maloney tewas kepada Laos dengan keputusan 2-0 pada aksi kumpulan B sekaligus tersingkir daripada saingan apabila gagal mengutip sebarang mata selepas mengharungi dua perlawanan.

Teong Kim berpendapat punca kegagalan skuad B-23 tahun negara dalam saingan edisi kali ini adalah kerana FAM dan MFL tidak mengadakan liga yang kompetitif bagi pemain remaja di Malaysia.

“Saya sudah banyak kali berkata jika FAM dan MFL tidak mengambil tanggungjawab mereka untuk menjalankan liga remaja, jangan harap bola sepak Malaysia akan maju. Pembangunan seseorang pemain mestilah melalui proses pembangunan akar umbi yang sistematik.

“Perkara ini tidak ada di Malaysia. Tetapi situasi bola sepak kita yang tidak membenarkan pemain remaja kita untuk maju. Jadi kita tidak boleh salahkan mereka. Yang salah ialah FAM dan MFL.

“Mereka yang seharusnya menyediakan landasan untuk pembangunan bola sepak di Malaysia. Apa yang perlu dilakukan ialah liga remaja, pemain import hanya perlu menggunakan tiga pemain bagi pasukan Liga Super dan Liga Premier. Pasukan pembangunan yang beraksi di Liga Premier tidak boleh ada pemain import.

“Pemain-pemain yang beraksi menentang Laos tidak boleh disalahkan kerana proses pembangunan FAM yang tiada sistem teratur. FAM memerlukan pemimpin yang mempunyai kualiti dalam memimpin, bukan seperti badut,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Petrus Shitembi Kembali Sertai Terengganu

Gary Steven Robbat Meriahkan “Reunion” Harimau Muda, Dengan Sertai Sabah

Lim Teong Kim Salahkan FAM Dan MFL Di Atas Kegagalan Skuad B-23 Tahun Negara