Skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23) terpaksa pulang awal daripada Kejohanan AFF B-23 apabila tewas 0-2 kepada Laos semalam. Ini adalah kekalahan kedua negara dalam tujuh pertemuan terakhir menentang Laos di kejohanan peringkat B-23 sejak 2014.

Jumaat lalu, skuad kendalian Brad Maloney itu turut tewas 1-2 sekaligus mengundang kecaman dan pelbagai kritikan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Beberapa pemain utama tidak dibawa dalam skuad kali ini untuk memberikan peluang kepada muka baharu beraksi bersama pasukan kebangsaan. Namun, langkah tersebut dilihat memakan diri apabila pasukan negara gagal untuk memberi saingan kepada Laos dalam dua perlawanan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengkaji dan mencari punca bagaimana pasukan yang sering menjadi belasahan seperti Laos berjaya mengejutkan skuad negara hingga mara ke separuh akhir Kejohanan AFF B-23.

“Saya berasa semua pihak terlibat dengan bola sepak perlu mencari jalan dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak di negara ini,” katanya seperti dipetik dalam Bernama. 

Faizal juga berpendapat dengan menukar jurulatih atau Presiden FAM tidak akan mengubah prestasi skuad kebangsaan jika sistem bola sepak negara tidak diperbetulkan daripada semua peringkat.

“Semata-mata dengan menukar jurulatih, pengurusan atau Presiden FAM, tidak memberi apa-apa makna jika keseluruhan ekosistem dalam sukan itu tidak diperbetulkan. Jadi untuk perbetulkan, kita mula dari diri sendiri, sebagai penyokong juga lihat perkara itu dengan cara yang boleh membantu, bukan menentang atau merosakkan,” jelasnya.

Selain skuad bawah 23 tahun, pasukan senior juga gagal dalam saingan Piala Suzuki AFF pada bulan Disember lepas sehingga memaksa FAM menubuhkan jawatankuasa badan siasatan bebas menyiasat punca kegagalan tersebut.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Lim Teong Kim Salahkan FAM Dan MFL Di Atas Kegagalan Skuad B-23 Tahun Negara

Piala Asia B-23: Malaysia Jumpa Vietnam dan Thailand Lagi

Piala AFF B-23: Demi Semangat Kesukanan, Malaysia Akan Menentang Laos Dua Kali

Piala AFF B-23: Pemain Pertahanan Selangor Terpaksa Diketepikan Kerana Kecederaan Lutut

Kim Pan-gon Mula Tugas Latih Harimau Malaya Pada Bulan Mac 2022