Bekas pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim mengkritik tindakan sesetengah kelab Liga Malaysia yang mengambil jalan pintas dengan menjadikan pemain import mereka sebagai pemain naturalisasi.

Ketika ini sedang hangat diperbincangkan oleh ramai pihak mengenai usaha Sri Pahang yang dikhabarkan mahu menjadikan dua pemain mereka iaitu Lee Tuck dan Sergio Aguero sebagai pemain naturalisasi memandangkan tahun 2022 genap bagi kedua-dua pemain beraksi di Malaysia.

Teong Kim hanya tidak bersetuju dengan langkah ini dimana beliau menganggap kelab hanya mengambil jalan pantas dan tidak mahu membuat pembangunan di peringkat akar umbi.

“Cara seperti ini akan membunuh bola sepak Malaysia. Kelab lebih baik membeli pemain import dan setelah lima tahun menjadikan pemain itu sebagai pemain naturalisasi. Mereka tidak perlu susah-susah untuk membuat pembangunan dan pemain tempatan duduk sahaja di bangku simpanan atau bangku VIP di stadium.

“Kalau begini caranya, maka selamat malam bola sepak Malaysia,” kata Lim Teong Kim.

Sebelum ini, bekas pemain Felda United dan Melaka United, Curran Ferns mempersoalkan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang memberi kerakyatan kepada pemain yang menipu mengenai status pertalian darah dengan Malaysia.

Curran Ferns
Sumber Gambar: Instagram Story Curran Ferns

“Menarik kerana FAM mahu memberi kerakyatan kepada pemain yang menipu mengenai statusnya bagi mendapatkan pasport untuk tujuan kepentingan peribadi.

“Untuk mewakili Malaysia dan menjadi warganegara, ianya lebih dari sekadar bola sepak. Bagaimana kita boleh benarkan seseorang yang cuba untuk memanipulasi masyarakat dan menipu kepada semua orang hanya kerana namanya kedengaran seperti orang Asia, hanya untuk memenuhkan poket sendiri.

“Ini adalah penghinaan terbesar dan seperti mendapat tamparan keras di muka. Tunjukkan dokumen anda yang mengatakan anda mempunyai keturunan Malaysia kerana anda telah bercakap kepada media untuk satu masa yang lama.

“Sekarang anda perlu buktikan atau meminta maaf kepada rakyat kerana menipu dan biarkan rakyat untuk menilai sama ada anda layak untuk menjadi warganegara Malaysia atau sebaliknya,” kata Ferns.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Curran Ferns Perli FAM, Beri Kerakyatan Kepada Pemain Yang Menipu Ada Darah Malaysia

Pau Marti Vicente Bakal Jadi Pembantu Kepada Kim Pan-gon

Zamsaham Sanggup Beli Sistem VAR Untuk Perbaiki Mutu Pengadil