Bekas pemain Felda United dan Melaka United, Curran Ferns mempersoalkan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang memberi kerakyatan kepada pemain yang menipu mengenai status pertalian darah dengan Malaysia.

Menerusi laman media sosial Instagram miliknya, Ferns tidak menyebut nama mana-mana pemain namun beliau berpendapat pemain yang dimaksudkan hanya menggunakan kerakyatan yang diberikan untuk tujuan kepentingan peribadi.

Curran Ferns
Sumber Gambar: Instagram Story Curran Ferns

“Menarik kerana FAM mahu memberi kerakyatan kepada pemain yang menipu mengenai statusnya bagi mendapatkan pasport untuk tujuan kepentingan peribadi.

“Untuk mewakili Malaysia dan menjadi warganegara, ianya lebih dari sekadar bola sepak. Bagaimana kita boleh benarkan seseorang yang cuba untuk memanipulasi masyarakat dan menipu kepada semua orang hanya kerana namanya kedengaran seperti orang Asia, hanya untuk memenuhkan poket sendiri.

“Ini adalah penghinaan terbesar dan seperti mendapat tamparan keras di muka. Tunjukkan dokumen anda yang mengatakan anda mempunyai keturunan Malaysia kerana anda telah bercakap kepada media untuk satu masa yang lama.

“Sekarang anda perlu buktikan atau meminta maaf kepada rakyat kerana menipu dan biarkan rakyat untuk menilai sama ada anda layak untuk menjadi warganegara Malaysia atau sebaliknya,” kata Curran Ferns.

Sebelum ini, terdapat laporan bahawa Sri Pahang sedang berusaha untuk menjadikan dua pemain import mereka iaitu Lee Tuck dan Segio Aguero sebagai pemain naturalisasi bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2022.

Sergio Aguero memulakan karier di Malaysia pada tahun 2017, sama seperti Lee Tuck dan tahun 2022 merupakan tahun kelima kedua-dua pemain ini beraksi dalam saingan liga domestik.

Pada Disember tahun lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai badan induk bola sepak negara mengumumkan mereka tidak akan menghalang mana-mana kelab Liga Malaysia yang mahu menaturalisasikan pemain masing-masing.

Ketika ini, Malaysia mempunyai tiga pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh, Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi. Ketiga-tiga pemain ini sudah beraksi bersama skuad kebangsaan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Mauricio Dedah Realiti Beraksi Bersama Johor Darul Ta’zim

JDT Buktikan Mampu Bersaing Dengan Kelab Eropah

Zainal Abidin Hassan Jadi Pilihan Untuk Jawatan Pembantu Jurulatih Skuad Kebangsaan