Malang terus menimpa pasukan Perak dalam kempen Liga Super Malaysia 2021 apabila tunduk 0-3 di tangan Selangor pada aksi ke-19 yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.

Ia merupakan kekalahan ke-12 buat Perak pada musim ini manakala Selangor pula berjaya mencatatkan kemenangan keempat berturut-turut dimana kali terakhir skuad Gergasi Merah itu mencatatkan pencapaian sama pada musim 2015.

Ketika tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang pada aksi di babak pertama, Selangor menggunakan kesempatan terhidang dengan membuka tirai jaringan pada minit ke-42.

Jaringan tersebut berpunca daripada kesilapan pemain pertahanan, Danish Haziq yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan dalam kawasan penalti bagi membolehkan Oliver Buff melakukan rembatan sekali gus menewaskan Azri Ghani di gawang tuan rumah.

Skuad kendalian Karsten Neitzel itu melebarkan kedudukan ketika aksi babak pertama memasuki masa kecederaan apabila sepakan percuma yang diambil Buff terus ditanduk masuk peledak berbisa Selangor, Ifedayo Olusegun.

Memasuki babak kedua, Perak cuba untuk mengurangkan defisit jaringan selepas rembatan leret hasil sepakan percuma Sergio Aguero sedikit menguji Khairulazhan Khalid pada minit ke-56. Bagaimanapun penjaga gol kebangsaan itu tidak berdepan masalah untuk menghalang percubaan tersebut.

Kem Selangor terus melonjak kegembiraan berselang empat minit kemudian apabila Ifedayo dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti bagi memastikan kemenangan kesembilan buat pasukan yang berada di tangga ketiga liga itu.

Dua gol yang dihasilkan Ifedayo itu juga merupakan jaringan ke-22 buat pemain import kelahiran Nigeria itu dalam saingan Liga Super setakat ini.