Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan pindaan jadual Liga Super dan Liga Premier bagi musim 2021.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, keputusan itu terpaksa diambil selepas merujuk kes membabitkan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA) dan Kuching City FC (KCFC) yang perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari apabila pemain dan pegawai mereka telah disahkan positif COVID-19.

Beliau berkata, pindaan jadual perlu dilakukan bagi memberi keseimbangan serta menjaga integriti saingan Liga Malaysia selepas lima perlawanan Liga Super melibatkan KDA dan tujuh perlawanan Liga Premier membabitkan KCFC terpaksa ditunda susulan kes COVID-19.

“Pindaan jadual perlawanan Liga Super dan Liga Premier adalah bertujuan memberi keseimbangan kerana jika pindaan tidak dilakukan, keputusan kedudukan liga hanya akan diketahui selepas perlawanan tertunda KDA dan KCFC berakhir jadi pada MFL ini adalah situasi yang tidak baik kepada persaingan liga.

Liga Super

“Menerusi pindaan terbaharu ini, perlawanan-perlawanan tertunda yang melibatkan pasukan KDA dan KCFC akan dijalankan di antara hari-hari perlawanan Liga Super dan Liga Premier yang telah ditetapkan.

“Maka dengan itu, perlawanan terakhir liga iaitu Liga Premier ke-22 dan Liga Super ke-22 akan dijalankan secara serentak dan ia berlangsung pada hari yang berbeza termasuk melibatkan pasukan KDA dan KCFC.

“Ini akan memberikan keadilan dalam penentuan kedudukan pasukan dalam liga yang turut merupakan Kelayakan Liga Juara-Juara AFC, Piala AFC, TM Piala Malaysia, Challenge Cup termasuk penentuan kenaikan dan penyingkiran pasukan musim depan di mana pindaan terhadap Jadual Liga Super dan Liga Premier turut menyebabkan tarikh undian Piala Malaysia dan Challenge Cup dipinda,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Berdasarkan pindaan terbaharu Jadual Liga Malaysia 2021, perlawanan Liga Super ke-18 bermula pada 13 Ogos 2021 manakala perlawanan Liga Super ke-19 sehingga 22, ia akan berlangsung bermula 20 Ogos 2021 sehingga 12 September 2021.

Liga Premier

Sementara bagi Liga Premier, aksi ke-18 berlangsung pada 15 Ogos 2021 dan pindaan berlaku pada perlawanan ke-19 sehingga 22 di mana ia akan berlangsung pada 20 Ogos 2021 sehingga 18 September 2021.

Dalam perkembangan sama, Dato’ Ab Ghani mendedahkan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menolak permohonan MFL agar hanya pegawai dan pemain yang didapati positif COVID-19 sahaja perlu dikuarantin juga antara salah satu faktor mengapa pindaan jadual Liga Super dan Liga Premier berlaku.

“Keputusan MKN untuk menolak permohonan MFL dibuat selepas mengambil kira kes harian COVID-19 yang semakin serius dan menular semakin cepat dalam negara masa kini.

“Justeru, MFL akur dengan keputusan MKN di mana individu yang didapati positif wajib menjalani Prosedur Operasi Standard (SOP) selama 14 hari bagi memastikan mereka sembuh dan mengelak daripada penyebaran COVID-19 dalam pasukan.

“Jadi pemain-pemain yang kontak rapat (tidak positif) pula dikehendaki menjalani kuarantin 10 hari di mana mereka tidak dibenarkan menjalani sesi latihan sepanjang tempoh kuarantin.

“MFL berharap agar semua pasukan lebih berhati-hati dan meningkatkan tahap kepatuhan SOP COVID-19 bagi memastikan tiada kes berlaku lagi selepas ini demi menjamin kelancaran saingan Liga Malaysia musim ini,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Ab Ghani memberitahu, MFL akan menggunakan beberapa aksi termasuk perlawanan tertunda pasukan dalam tempoh FIFA Days selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Perlawanan Liga Super ke-21 dan dua perlawanan tertunda melibatkan KCFC akan dijalankan semasa tempoh FIFA Days dan saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan ke atas FAM di atas ‘lampu hijau’ untuk menggunakan slot FIFA Days demi kestabilan penjadualan Liga Malaysia.

“Oleh yang demikian, kelab-kelab Liga Super atau Liga Premier yang mempunyai pemain import yang dipanggil ke latihan pusat pasukan kebangsaan masing-masing mempunyai hak untuk menggunakan budi bicara untuk mengekalkan pemain bersama kelab bagi menghadapi perlawanan liga yang telah ditetapkan.

“Namun sekiranya kelab membenarkan pemain import mereka menyertai pasukan kebangsaan atau lebih spesifik keluar dari negara Malaysia, prosedur iaitu kuarantin selama 14 hari akan dilaksanakan sebelum mereka menyertai kembali ke kelab. Jadi keputusan itu terserah di tangan kelab masing-masing,” katanya.