Penang nyata pantas melupakan kekalahan yang dialami pada minggu lalu apabila berjaya menundukkan Perak 5-3 pada aksi Liga Super Malaysia 2021 di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.

Kemenangan kelapan dicatatkan itu juga meletakkan skuad kendalian Thomas Trucha itu di tangga ketiga liga untuk mengutip 28 mata, berkelebihan dua mata di hadapan Kedah yang kekurangan tiga perlawanan.

Jaringan pembukaan pasukan pelawat hadir hanya selepas sembilan saat perlawanan berlangsung apabila pemain pertahanan, Rafael Vitor Santos De Freitas bijak menyempurnakan peluang susulan salah faham melibatkan Charlie Machell dan penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam.

Hanya berselang tujuh minit kemudian, Rafael menambah jaringan kedua selepas beliau melakukan percubaan susulan setelah tandukan awal daripada Casagrande Arruda Da Silva gagal ditangkap kemas Hafizul bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Nana Poku merapatkan jurang gol pada minit ke-16 apabila beliau meledakkan percubaan padu dalam kawasan penalti setelah menerima umpanan cantik daripada Sergio Aguero yang gagal dihalang penjaga gol Penang, Samuel Somerville.

Jaringan tersebut tidak langsung melunturkan semangat Penang yang menambah dua lagi jaringan menerusi Casagrande pada minit ke-21 manakala berselang tujuh minit kemudian, Rafael Vitor melengkapkan hatrik buatnya pada perlawanan ini.

Tidak mahu jurang gol terlalu jauh memisahkan mereka, Perak mendapat gol kedua selepas Nana Poku berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-35 selepas beliau dikasari dalam kawasan penalti.

Memasuki babak kedua, Perak dilihat mempamerkan aksi yang lebih tersusun dan lebih banyak melakukan serangan ke arah pintu gol Penang.

Keadaan itu menyebabkan pemain pertahanan, Muhamad Azwan Mohd Aripin melakukan kekasaran terhadap Firdaus Saiyadi dalam kawasan penalti untuk sekali lagi memberikan sepakan penalti buat Perak.

Nana Poku yang mengambil sepakan tersebut tidak berdepan masalah untuk menghadirkan jaringan ketiga sekali gus turut melengkapkan hatrik pada minit ke-58.

Ketika Perak semakin giat untuk melancarkan serangan bagi mengikat perlawanan, Abdul Azim Rahim mematikan api perjuangan skuad kendalian Shahril Nizam Khalil itu dengan jaringan kelima untuk mengesahkan kemenangan buat Penang.