Saingan Liga M3 bakal berubah wajah pada musim 2023 apabila dinaiktaraf menjadi ‘Semi-Pro’ yang bakal menyaksikan kesemua pasukan berada di dalam satu carta liga yang sama dan berentap secara timbal balik (home & away).

Malah, format kali ini bukan sahaja memberikan lebih perlawanan untuk setiap pasukan bahkan bakal menyajikan saingan yang lebih sengit dan kompetitif. Sepak mula liga ini akan bermula pada Februari 2023.

Sebanyak 14 pasukan telah mengesahkan penyertaan mereka untuk berentap merebut kejuaraan Liga M3 Musim 2023. 12 Pasukan Liga M3 2022 termasuk juara bertahan PIB FC kini sedang bersiap sedia untuk menempuhi cabaran seterusnya apabila persaingan akan menjadi lebih sengit dengan kemasukan dua (2) pencabar baharu iaitu Sarawak United FC dan Melaka FC.

14 pasukan yang disahkan menyertai Liga M3 2023 adalah seperti berikut:

1. Armed Forces F.C
2. Bukit Tambun Football Club
3. Harini FT
4. Imigresen Football Club
5. Kinabalu Jaguar FC
6. BRM FC Kuala Kangsar
7. klrovers
8. Malaysia University
9. Manjung City FC
10. Ultimate FC
11. Perlis United FC
12. PIB Football Club
13. Sarawak United FC Official
14. Melaka Football Club

Pada dasarnya AFL merancang untuk menjalankan Liga M3 musim hadapan dengan penyertaan 16 pasukan seiring dengan Liga Super 2023.

Walau bagaimanapun, baki 2 lagi pasukan tersebut masih berada di ‘Standby List’ dan diberikan lanjutan masa untuk menyelesaikan beberapa perkara penting dalam memenuhi kriteria dan syarat yang ditetapkan untuk bermain di Liga M3.

Pengumuman tambahan dua (2) Pasukan jika mereka berjaya melepasi proses pengesahan akan dibuat dalam waktu terdekat.

Selain itu, Al-Ikhsan diangkat sebagai ‘TITLE SPONSOR’ untuk Liga M4 buat julung kalinya yang akan dijenamakan menjadi ‘AL-IKHSAN CUP’ dengan nilai keseluruhan tajaan sekitar RM 1 Juta semusim.

Pertandingan itu dibentuk oleh Pasukan Relegasi Liga M3 2022 dan Pasukan Promosi Liga M5 2022 ini dijadualkan bermula pada Mei 2023.

Lebih menarik, bermula pertengahan Februari 2023, peminat-peminat bola sepak tanah air sudah boleh mendapatkan jersi Pasukan Liga M3 di cawangan Al-Ikhsan Sports, Football Republic yang berdekatan atau di atas talian menerusi laman web al-ikhsan.com dengan harga RM99 sahaja!