Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan sebanyak 2,080 tiket Perlawanan Antarabangsa Tier 1, Malaysia menentang Kepulauan Solomon di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu telah terjual setakat ini.

Jualan tiket perlawanan itu telah bermula sejak 1 Jun lalu dan para peminat bola sepak tempatan boleh mendapatkannya secara dalam talian menerusi laman web tickethotline.com.my.

Harga tiket untuk semua tempat duduk terbuka ialah RM30 manakala kanak-kanak berusia 6 tahun hingga 12 tahun dikenakan bayaran tiket sebanyak RM5.

Selain itu, peminat juga boleh mula membeli tiket untuk satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Papua New Guinea yang bakal berlangsung pada 20 Jun ini.

Ini merupakan peluang terbaik untuk para penduduk pantai timur menyaksikan perlawanan persahabatan antarabangsa dengan lebih dekat sekaligus memberikan sokongan padu kepada skuad negara.

Sudah tentu ramai peminat tidak sabar melihat aksi-aksi hebat daripada pemain skuad Harimau Malaya seperti Faisal Halim, Brendan Gan, Safawi Rasid dan Lee Tuck.

Ketua jurulatih, Kim Pan Gon telah mengekalkan seramai 17 daripada 27 pemain yang telah dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu di Johor Bahru, Johor pada Mac 2023.

Kapten Harimau Malaya, Dion Cools tidak dapat bersama-sama untuk menyertai kem latihan pusat kali ini kerana melangsungkan majlis perkahwinannya. FAM dan barisan kejurulatihan Harimau Malaya mengucapkan tahniah kepada beliau dan isterinya.

Seramai 10 pemain baharu dipanggil kali ini termasuk lima pemain dari skuad Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 iaitu Safawi Rasid, Mukhairi Ajmal Mahadi, Haqimi Azim Rosli, Azam Azmi Murad dan Lee Tuck; tiga pemain yang kembali dipanggil iaitu Natxo Insa, Junior Eldstal dan Shahrel Fikri Md Fauzi serta penjaga gol, Azri Ab Ghani dan muka baharu, Syahir Bashah.

Sementara 24 pemain diletakkan dalam Senarai Bersedia, jika terdapat perubahan dalam senarai 27 pemain tersebut: