Pemain pertahanan skuad kebangsaan, Dion Cools melengkapkan musim cemerlang dengan kejuaraan ‘treble’ dalam saingan Liga Thailand apabila membantu kelabnya, Buriram United muncul juara Piala FA selepas menewaskan Bangkok United, 2-0 semalam.

Beliau diturunkan dalam kesebelasan utama dan beraksi selama 90 minit berganding bersama Pansa Hemviboon yang juga merupakan pemain pertahanan skuad kebangsaan Thailand.

Dalam perlawanan itu, Buriram United dipaksa bekerja keras sebelum menjaringkan gol pertama pada minit ke 45 menerusi Jonathan Bolingi.

Bolingi kemudian menambah satu lagi gol pada minit akhir perlawanan selepas menanduk masuk bola sepakan sudut yang diambil oleh Theerathon Bunmathan.

Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan kemenangan ini juga bermakna Dion Cools telah raih trofi ketiga bersama Buriram United selepas membantu kelab itu mengesahkan kejuaraan Piala Liga Thai minggu lepas.

Liga Thailand musim 2022/2023 akhirnya telah menutup tirai dan secara keseluruhan, Dion Cools telah mengutip minit permainan sebanyak 1,679 dan beraksi dalam semua pertandingan.

Bagaimanapun, beliau belum menjaringkan sebarang gol dalam 21 perlawanan yang diharungi.

Selain memenangi trofi, Cools juga tersenarai dalam kesebelasan terbaik Liga Thailand musim ini bersama Michael Falkesgaard (Bangkok United), Rebin Sulaka, Theerathon Bunmathan, Supachai Jaided, Suphanat Mueanta (Buriram United) dan Samuel Rosa (PT Prachuap).

Prestasi cemerlang yang ditampilkan oleh pemain kelahiran Kuching itu pasti melegakan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon dalam pembentukan skuad yang mantap untuk saingan Piala Asia 2023 tahun depan.